Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Pemimpin politik, NGO, agamawan sampai pidato di Himpunan RUU 355 – Berita Harian Online – 18/2/2017
20 Feb 2017

Pemimpin politik, NGO, agamawan sampai pidato di Himpunan RUU 355

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik akan menyampaikan pidato serta perbahasan pada Himpunan Rang Undang-Undang 35 (RUU 355) di Padang Merbuk, di sini, bermula petang ini.

Antara pemimpin yang dijadual menyampaikan ucapan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan serta Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Dr Mahfudz Mohamad.

Pemimpin NGO pula akan menampilkan Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminudin bin Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Datuk Prof Mahamad Naser Disa serta jurucakap Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sesi pidato pada sebelah malam, menampilkan tokoh agama diketuai, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri; Pengerusi Sekretariat Ulamak & Umarak, Datuk Jailani Ngah; serta jurucakap Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Dr Yusri Mohamad.

Selain sesi perbahasan, turut diadakan persembahan Nasyid oleh kumpulan Nowseeheart, selain sesi soal jawab agama dengan penampilan khas oleh Ustaz Azhar Idrus, dijadual jam 5 petang ini.

Pengunjung dan penyokong yang hadir juga akan bersama dengan pemimpin mengadakan solat berjemaah dan solat hajat serta bersama dalam sesi selawat dan qasidah. Penganjur sebelum ini menjangkakan kehadiran seramai 200,000 penyokong dari kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam ke himpunan terbabit.

Pihak penganjur juga memberi jaminan himpunan yang julung kali diadakan dan dijangka terbesar setakat ini, diadakan dalam suasana tenang dan aman sebagai mematuhi peraturan ditetapkan pasukan keselamatan dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

SUMBER DARI : BERITA HARIAN

http://www.bharian.com.my/node/249969