Cabaran paling utama ialah kesukaran untuk memperolehi penajaan bagi menampung kos perbelanjaan disepanjang cabaran mencipta rekod, menyebabkan ia terpaksa ditangguh berkali-kali sebelum ini.

Sehingga hari ini, saya hanya memperolehi enam pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBoR) melalui cabaran pendakian solo yang berbeza.

Bagi mencipta rekod yang ke tujuh iaitu cabaran pendakian solo dalam Himalaya 2017 – Breaking Malaysia Records, saya terpaksa mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos perbelanjaan sepanjang cabaran solo dalam tempoh tiga minggu yang bermula 23 April lalu ekoran gagal memperolehi penajaan.

 Alhamdulillah, saya berjaya melakukan dengan mendaki sebanyak tujuh puncak gunung di tengah Banjaran Himalaya, iaitu melebihi sasaran sebenar yang ditetapkan sebelum ini walaupun kos perbelanjaan amat berkurangan dan tidak mencukupi.

Saya tetap bersyukur kerana agensi pendakian di Nepal iaitu Seven Star Adventure Holidays turut menampung sebahagian kos perbelanjaan sepanjang pendakian di tengan banjaran Himalaya.

Bernilai

Keyakinan dengan kemampuan saya yang kini berusia 50 tahun, membuatkan majikan saya iaitu Utusan Melayu terus memberi sokongan demi nama negara di persada dunia.

Turut membantu sebelum saya berlepas ke Nepal ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Malaysia Inbound Torism Association (MITA), Yayasan Patriot Negara, Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Gagasan Prihatin Semenyih, Fify4Fern dan IbuSue, walaupun sedikit sumbangan anda, ia amat besar nilainya kepada saya, syukur pada Illahi.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Team Pendaki Solo yang berhempas pulas membantu sepanjang cabaran yang dilakukan di tengah Banjaran Himalaya khususnya ketika saya terpaksa melalui saat getir kerana terkandas ketika cuaca buruk di Lukla selain mengalami kecederaan frostbite pada jati tangan.

Sementara itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih juga kepada mereka yang mengkritik melalui media sosial kerana kritikan anda itu terus menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus mencipta rekod demi Negaraku Malaysia.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca Mingguan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama islam.

MOHD NOOR MAT AMIN,
Pendaki SOLO, 

www.pendakisolo.com

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pendaki-solo-cipta-rekod-ketujuh-1.498180#ixzz4ljw3UqpV