Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGUATKUASAAN LEMAH, PEMANTAUAN PERLU DIPERKETAT – UTUSAN MALAYSIA – 17/12/18
17 Dec 2018

Utusan (penguatkuasaan lemah, pemantauan perlu diperketat) 17.12.18

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Dakwaan wujud unsur rasuah sehingga menyebabkan berlakunya pencerobohan terhadap Hutan Simpan Kekal di Hulu Perak tidak boleh dipandang ringan.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Mohamad Hafizudin Mohd. Nasaruddin yang tidak menolak berkemungkinan wujud unsur rasuah dalam kalangan tauke balak dengan pihak penguat kuasa memandangkan aktiviti pencerobohan berlaku secara berleluasa.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu unsur rasuah bukan sahaja boleh wujud dalam bentuk pemberian wang, tetapi kenderaan dan menghantar anak ke universiti oleh tauke balak kepada penguat kuasa mahupun wakil penduduk tempatan membuatkan pembuktian dakwaan itu sukar dilakukan.

“Oleh itu, kita perlu ada badan selain syarikat pembalak dan Jabatan Perhutanan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan pakar untuk memantau aktiviti pembalakan secara telus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebelum hutan simpan itu menjadi gondol, tindakan ke atas mereka yang terbabit perlu dibuat.

Menurutnya, semakin hari semakin banyak isu pencorobohan hutan secara tidak sah, seolah-olah ada pihak yang berkerjasama sehingga terlepas pandang.

“Pihak berkuasa seharusnya membuat satu sistem pemantauan yang konkrit dengan turut melibatkan orang ramai sebagai mata dan telinga.

“Jika benar pemantauan sering dilakukan, kejadian yang sama tidak seharusnya berlaku,” ujar beliau.

Tambah Nadzim, kebanyakan syarikat pembalak haram sudah mengenal pasti lokasi hutan untuk mendapatkan balak dan seharusnya Jabatan Perhutanan negeri dan pihak polis mengesan aktiviti mereka dengan lebih awal.

 

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

PENGUATKUASAAN LEMAH, PEMANTAUAN PERLU DIPERKETAT