Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PIJAK GAMBAR PEMIMPIN: #PPIM GESA TINDAKAN PALING KERAS! #BersihRally
07 Sep 2015

Kebiadapan beberapa peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang memijak gambar pemimpin pada minggu lalu terus mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa sehubungan itu digesa supaya tidak memberi muka terhadap mereka yang didakwa melakukan perbuatan kurang ajar tersebut dan perlu dikenakan tindakan tegas.
“Jangan beri muka kepada orang yang biadab. Buat apa kita nak bagi peluang kepada mereka yang tak hormat pemimpin dan negara? Apakah selama ini Malaysia tidak aman sehingga rakyat tidak dapat makan, minum atau bekerja? “Pihak berkuasa perlu ambil tindakan paling tegas terhadap mereka yang terlibat supaya dapat dijadikan pengajaran kepada pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baca artikel berkaitanKENAKAN TINDAKAN KE ATAS PENGANJUR PERHIMPUNAN HARAM

Dalam pada itu, Presiden Gerakan Re­formasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar menegaskan, PDRM perlu bertindak serius dan menyeluruh dalam menangani kes berkenaan yang disifatkan sengaja ‘cari pasal’ untuk jejaskan perpaduan kaum dan agama.
Jelas beliau, jika mereka yang terlibat tidak dikenakan tindakan tegas, keadaan itu dikhuatiri boleh mencetuskan polemik agama antara kaum, sekali gus meruntuhkan institusi kenegaraan.
“Jangan lepaskan mereka yang berani pijak gambar-gambar pemimpin. Cari sampai ke lubang cacing dan kenakan tindakan tegas supaya mereka tidak berani ulang kesalahan sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, memijak gambar pemimpin bukan isu yang boleh dianggap sebagai tindakan provokasi biasa.
Sebaliknya tegas beliau, isu tersebut boleh mengakibatkan kesan yang memudaratkan jika tidak ditangani segera dan tegas kerana Perdana Menteri dan Presiden Pas adalah pemimpin beragama Islam serta berbangsa Melayu dan orang yang memijak gambar mereka pula orang Cina.
“Perbuatan itu bukan sahaja mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu, tetapi juga boleh dilihat sebagai penghinaan kepada agama Islam,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN ONLINE