Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, terdapat status dimuat naik seorang pengguna Facebook yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan yang akan menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 447/427 Kanun keseksaan kerana menceroboh dan melakukan khianat.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai Eksekutif di syarikat berkenaan tentang kejadian stor syarikatnya diceroboh sekumpulan individu bagi mengambil kenderaan yang diletakkan dalam stor tersebut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan sementara siasatan dijalankan kita minta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

“Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan adil berlandaskan peruntukan undang–undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing, namun berdasarkan aduan masih terdapat kira-kira 1,440 buah kereta dalam simpanan syarikat berkenaan.

Operasi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook itu berjalan selama lebih 24 jam selepas semua 60 buah kereta berjaya dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE