Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, untuk menjayakan hasrat tersebut, kerajaan perlu memainkan peranan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mewujudkan modul seperti yang diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran untuk melatih guru-guru di sekolah harian biasa.

“Kita tidak mahu lagi ada pihak yang mencadangkan pusat-pusat tahfiz ini ditutup jika timbul isu-isu negatif sebaliknya perlu ada usaha memperkasa pusat tahfiz jadi institusi pendidikan yang cemerlang.

“Sebagai contoh, semasa zaman kegemilangan Islam satu ketika dahulu, orang-orang Eropah datang ke negara-negara Islam untuk menuntut ilmu dan inilah hasrat kita terhadap pusat pendidikan tahfiz di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis perlepasan Program Kem Mujahadah Ke Pekanbaru, Riau, Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini hari ini.

Program tersebut yang sudah diwujudkan sejak enam tahun lalu itu bertujuan untuk memperkasa semangat jati diri kepada 40 orang pelajar tahfiz dengan menyertai program seperti memanah, berkuda dan latihan taekwando selama 17 hari.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua Maahad Tahfiz Darul Azhar (MTDA), Dr. Azhar Mohamed; Pengarah Fabulous Empire, Siti Khadijah Hassan, Duta Fabulous Empire, Irene Catalina dan Pengarah Kreatif Yayasan Patriot Negara, Yann Razal.

Nadzim berkata, program tersebut merupakan satu daripada contoh dan modul terbaik untuk melahirkan pelajar tahfiz yang cemerlang dan hebat.

“Ini adalah satu lagi modul yang perlu ada di semua pusat-pusat tahfiz dan saya yakin ini dapat ubah imej negatif terhadap pusat tahfiz.

“Bayangkan jika pelajar-pelajar tahfiz ini mampu menyertai sukan dan berjaya ke peringkat Sukan Olimpik dan jadi juara dunia sudah pasti persepsi dunia pada Islam berubah sama sekali,” jelas beliau. – K! ONLINE