Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM CADANG LABEL SIHAT PADA PRODUK JADI HAK EKSKLUSIF – KOSMO – 7/2/18
07 Feb 2018

Kosmo ( PPIM cadang label sihat pada produk jadi hak eksklusif ) 7.2.18

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberikan maklum balas segera kepada orang ramai berhubung dakwaan produk Milo keluaran Nestle Malaysia mengandungi 40 peratus gula.

Ketua aktivisnya, Datuk.Nadzim Johan berkata, kementerian berkenaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai kesahihan kuantiti gula dalam minuman Milo serta bagaimana produk itu boleh diklasifikasikan sebagai minuman sihat.

“Sejak puluhan tahun dahulu, rakyat Malaysia telah didedahkan dengan Milo sebagai minuman sihat dan memberikan tenaga selain turut dihidangkan di sekolah-sekolah dan wad hospital.

“Apabila timbul dakwaan negatif, kami mahu KKM dan kementerian terlibat seperti Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memberi penjelasan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.

Nadzim juga mencadangkan agar penggunaan slogan sihat dijadikan sebagai hak eksklusif sama seperti logo halal bagi memberi keyakinan kepada pengguna mengenai tahap keselamatan sesuatu produk.

“KKM perlu memberi hak menggunakan label berkenaan kepada produk yang disahkan sihat dan jika sesuatu produk tidak menepati syarat ditetapkan ia dilarang menggunakan label eksklusif itu,” jelasnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar sama, Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle Malaysia, Othman Md. Yussoff menafikan produk Milo mengandungi gula yang terlalu tinggi serta menganggap video yang tular di media sosial sebagai mengelirukan pengguna.

“Serbuk Milo memang mengandungi 40 peratus kandungan gula namun 20 peratus daripadanya susu dan barli manakala 20 peratus lagi gula biasa.

“Bagaimanapun, kandungan gula dalam serbuk minuman itu akan berkurang kepada enam peratus apabila dilarutkan dalam air sebelum diminum oleh pengguna,” ujarnya.

Othman turut menyarankan pengguna mengenai cara menikmati Milo iaitu dengan membancuh lima sudu teh serbuk Milo bersama 200 mililiter air.

Sebelum ini, seorang pengguna memuat naik satu rakaman video yang mendakwa rakyat Malaysia ditipu apabila produk Milo dikatakan mengandungi 40 peratus gula.

Artikel Oleh : KOSMO

PPIM CADANG LABEL SIHAT PADA PRODUK JADI HAK EKSKLUSIF