Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM DEDAH SINDIKET KERETA PIANG GUNA LOGO KPDNHEP, PELEKAT KEBAL – MALAYSIA GAZETTE – 15/5/19
16 May 2019

malaysia gazette

KUALA LUMPUR – Satu sindiket menyalahguna logo Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dipercayai bergiat aktif menjadikan pemilik kenderaan yang ditarik sebagai mangsa.

Ia bukanlah satu perkara baru sebaliknya, sindiket itu telah lama beroperasi dan kini menggunakan taktik lebih licik apabila menggunakan ‘pelekat kebal’ dengan menampalnya pada kenderaan yang mempunyai hutang tertunggak agar tidak ditarik oleh pihak bank.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut memberitahu, badan bukan kerajaan (NGO) itu telah menerima lebih 800 aduan daripada orang ramai berhubung kenderaan mereka hilang selepas ditarik oleh sindiket terbabit.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menggesa supaya pihak berkuasa mengambil perhatian terhadapnya kerana ia bukan sahaja menganiaya pemilik kenderaan yang ditarik malah, juga kepada pihak bank.

Menurutnya, ‘pelekat kebal’ itu digunakan oleh kumpulan penarik kereta dengan tujuan melindungi kereta yang pemiliknya telah gagal membayar ansuran bulanan, namun kenderaan itu tidak pula diserah kepada pihak bank.

“Sindiket ini akan menjadikan kereta yang kononnya ditarik itu sebagai kereta piang (kereta lari bank) dan menjualnya pula kepada orang awam.

“Dengan adanya pelekat tersebut, repo team lain tidak akan menarik kenderaan tersebut walaupun jika ianya dijumpai.

“Penjualan kereta piang ini semakin berleluasa terutamanya melibatkan kenderaan mewah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan kenderaan yang menggunakan ‘pelekat kebal’ tersebut turut menggunakan insurans palsu serta kenderaan itu diinsuranskan dibawah nilai pasaran kenderaan.

Katanya, terdapat juga kes di mana kenderaan yang masih dalam pinjaman sewa beli diinsurankan dengan menggunakan insurans pihak ketiga.

Ujarnya, pemilik kenderaan akan menerima kesan sekiranya berlaku musibah kerana mereka akan berdepan dengan masalah tunturan insurans.

Sementara itu, seorang pemandu Grab, Wan Perang Wan Mat Noor, 37, berkata, dia pernah menjadi mangsa sindiket terbabit setahun yang lalu.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, dia didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai penarik kereta daripada bank yang memberikan pinjaman pembelian kenderaannya.

Katanya, penarik kereta itu memberitahu dia telah tertunggak bayaran kereta jenis Alza yang dinaikinya itu selama setahun dan jumlah tunggakannya sudah mencecah RM11,000.

Jelasnya, dia juga diminta supaya membayar sejumlah wang kepada mereka untuk mengelak keretanya itu disimpan di dalam stor milik bank.

Meskipun, mengetahui jumlah tunggakannya tidak sebanyak yang dinyatakan namun, beliau menyerahkan juga kereta Alza tersebut kepada individu berkenaan ekoran akur dengan kehendak bank.

Bagaimanapun, selepas seminggu beliau datang ke bank berkenaan untuk menuntut semula kenderaan dengan membawa wang berjumlah RM4,000 yang sudah dikredit ke akaun kenderaannya itu.

“Selepas membuat bayaran saya berjumpa dengan pegawai bank tersebut untuk mengeluarkan kereta.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak bank bahawa kereta saya tidak ada dalam simpanan mereka.

“Tetapi yang peliknya pegawai bank itu ada menunjukkan kepada saya gambar ketika kenderaan saya ditarik,” katanya yang kemudian membuat laporan polis selepas curiga dengan penjelasan yang diberikan oleh pegawai di bank berkenaan.

Tambahnya, dia telah membuat laporan polis sebanyak tiga kali namun sehingga kini kenderaannya masih juga belum ditemui.

Dalam pada itu, Nadzim menegaskan beliau tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit bersekongkol dengan ‘orang dalam’ di bank untuk menjalankan aktiviti kereta piang.

Malah, beliau mendakwa sindiket terbabit mempunyai jaringan dengan beberapa orang dalam di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak meluluskan proses penukaran nombor plat kenderaan yang dibuat secara haram tanpa pengetahuan pemiliik dan juga tanpa mengikut prosedur yang betul.

“Adakalanya sebuah kenderaan itu dibuat proses pertukaran sehingga beberapa kali dan ini akan menyukarkan pihak bank untuk menarik kenderaan ini kerana data yang dikeluarkan dalam surat tarik adalah nombor bagi plat asal.

“Sindikt juga berkemungkinan akan menjual kereta piang ini ke negara jiran, paling mudah Thailand sekiranya kenderaan ini telah disenarai hitam oleh PDRM yang akan menyebabkan cukai jalan tidak dapat diperbaharui,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan risikan oleh pihaknya sejak tiga bulan lalu, sebanyak 15 kumpulan sindiket terbabit dikesan dengan masing-masing menggunakan pelekat yang berlainan.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak sesekali tertipu dengan helah yang digunakan oleh sindiket terbabit bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

 

Artikel oleh : Malaysia Gazette

PPIM DEDAH SINDIKET KERETA PIANG GUNA LOGO KPDNHEP, PELEKAT KEBAL

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/14/ppim-dedah-sindiket-kereta-piang-guna-logo-kpdnhep-pelekat-kebal/