Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM gesa EAIC, polis siasat syarikat perumahan – Sinar Online – 3/10/2017
04 Oct 2017

Snapshot(6)

AMPANG – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon Polis Diraja Malaysia dan  Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) segera menyiasat sebuah syarikat perumahan dan hartanah.

Aktivis PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya turut menggesa semua mangsa syarikat perumahan dan hartanah itu tampil memberi kenyataan dan membantu siasatan pihak berkuasa.

“Mereka juga boleh memberi bukti bagi membantu siasatan polis untuk tindakan lanjut. Kita bukan berasa seronok pun jika individu ini ditangkap, namun ia dapat menjadi pengajaran kepada sindiket lain yang ada di Negara ini,” katanya.

“Kita telah menyerahkan aduan daripada mangsa kepada EAIC, mereka juga akan melakukan siasatan untuk mencari punca dan membuktikan modus operandi kumpulan ini,” katanya.

Yusuf berkata, syarikat perumahan dan hartanah itu perlu menyiapkan segera lebih 400 rumah.

“Siapa yang akan bertanggungjawab jika masalah timbul sudah tentu polis dan PPIM akan menerima aduan lagi,” katanya.

Yusuf menegaskan PPIM tidak melakukan fitnah ke atas syarikat berkenaan.

“Apa yang kita lakukan ini hanya untuk kebaikan ummah, kita tidak pernah menjatuhkan maruah pemilik syarikat itu,” katanya.

Menurutnya, PPIM sudi meminta maaf sekiranya mendapati syarikat tersebut tidak bersalah.

“Kita juga sudi menolong mempromosikan perniagaan syarikat berkenaan jika ia sah dan aktivitinya perumahan itu betul,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, PPIM dihalang masuk dalam sidang media yang diadakan oleh sebuah syarikat perumahan dan hartanah, hanya media terpilih sahaja dibenarkan.

Sementara itu, wakil peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim yang juga turut hadir memberitahu PPIM ‘hadir’ ke sidang media syarikat perumahan dan hartanah itu bukan mahu membuat provokasi.

“Kita dimaklumkan sidang media itu mahu mencari kebenaran. Saya menjangkakan dapat berjumpa dengan kontraktor dan arkitek serta mendapat penjelasan mengenai kos bahan, pekerja, margin keuntungan. Ini soalan yang akan ditanya, bukan mahu provokasi. Jawapan yang kami dapat adalah itu adalah rahsia syarikat,” katanya.

Menurutnya, ketika pertemuan dengan pemilik syarikat itu sebelum ini,  pihaknya memohon maklumat dan laporan lengkap berkaitan projek perumahan dengan harga RM50,000.

“Kami juga memohon syarikat berkenaan menangguhkan segala promosi sehingga PPIM menerima maklumat dan laporan daripada syarikat itu.

“Kami tidak mahu nanti dah rugi, baru kata alamak dah rugi. Jika tiada sebarang masalah sebelum ini, PPIM tidak akan masuk campur. Kami masuk campur kerana ada aduan daripada mangsa,” katanya.