Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kajian menyeluruh penting supaya kes penderaan melibatkan kanak-kanak di pusat jagaan kanak-kanak tidak berulang lagi selain pemeriksaan lebih tegas terhadap sijil layak menduduki (CF) di semua pusat asuhan berdaftar.

“Kita minta kementerian yang terlibat beri fokus luar biasa terhadap isu penderaan sehingga melibatkan kematian termasuk di pusat jagaan yang tidak berdaftar .

“Kita tidak mahu kes seperti ini terus berulang kerana sudah ramai ibu bapa lain yang berdepan masalah sama tetapi tidak dapat pembelaan sewajar daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh di sini hari ini.

Dalam masa sama, PPIM turut menerima aduan daripada ibu bapa berkenaan banyak bangunan yang mereka bekerja tidak memiliki CF sehingga menyebabkan pihak bomba tidak meluluskan cadangan membuka pusat asuhan di pejabat tersebut. – UTUSAN ONLINE