Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM MAHU ISU TARIK KERETA DISELESAIKAN – UTUSAN MALAYSIA – 8/8/18
08 Aug 2018

utusan (isu tarik kereta) 8.8.18-01

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Semua pihak berkepentingan dalam isu penarikan kereta perlu mencari penyelesaian supaya isu ini dapat diselesaikan dengan beretika dan menguntungkan semua pihak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, situasi yang berlaku kini adalah sebaliknya di mana para pengguna keliru dengan apa yang berlaku.

“Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik dan berhemah. Namun kewujudan penarik kereta yang tidak beretika membuatkan pengguna berasa terancam,” kata Nadzim dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Turut hadir hari ini, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie.

Sidang akhbar ini merupakan susulan kepada satu insiden yang berlaku pada 31 Julai lepas, apabila beliau terpaksa campur tangan dalam satu insiden penarikan kereta di Jalan Tun Razak yang menjadi tular dalam media sosial.

“Dalam insiden tersebut, pengguna telah menjelaskan bayaran keretanya yang tertunggak, namun sekumpulan penarik kereta mahu menarik keretanya.

image

“Dan apabila dia membuat panggilan kepada pihak bank, pengguna tersebut dinasihatkan supaya pergi berlindung di balai polis.

“Jadi, persoalannya adalah siapa sebenarnya kumpulan penarik kereta tersebut? Logiknya mereka bertindak atas arahan bank, namun kenapa pihak bank menasihati pengguna sedemikian pula?” soal Nadzim.

Oleh itu, beliau mendesak agar tindakan menyeluruh termasuk mengkaji dan jika perlu, menggubal undang-undang dasar serta polisi sedia ada bagi mengelakkan perkara yang sama terus berulang.

Sebagai rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ada mengeluarkan kad perakuan diri menarik kereta, namun setakat ini, bagaimana penggunaan kad itu dikawal selia tidak dijelaskan.

Dalam sidang akhbar yang sama, wakil PPIM turut membuat panggilan kepada nombor hotline KPDNKK yang tertera pada kad perakuan tersebut, namun dimaklumkan bahawa nombor tersebut adalah bagi unit aduan. Cubaan untuk mendapatkan pengesahan dari bahagian pengesahan permit gagal kerana kedua-kedua panggilan yang dibuat kemudian tidak berjawab. – UTUSAN ONLINE

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

PPIM MAHU ISU TARIK KERETA DISELESAIKAN

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/video-ppim-mahu-isu-tarik-kereta-diselesaikan-1.724405