Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, beliau menyatakan perkara itu berikutan ada pihak terutama dalam media sosial yang menuduh PPIM mempunyai agenda politik.

 “Kami dituduh mula bias dan berat sebelah terhadap sesetengah parti politik sedangkan kami selamanya adalah non-partisan dan tumpuan hanyalah untuk memperjuangkan nasib pengguna di negara ini dan bukannya untuk menyokong dan mempunyai kepentingan dengan mana-mana ahli dan parti politik.

“Walau bagaimanapun, kita akan mencari formula dan kaedah bagaimana isu ini dapat ditangani dengan baik dan ambil kira semua pandangan dalam mengekalkan harmoni dengan semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM kesal apabila apa yang diperjuangkan oleh persatuan itu dikaitkan dengan politik sehingga menimbulkan perdebatan dan polemik di media sosial.

“Saya minta semua pengguna media sosial supaya bertenang. Ini soal kepenggunaan, soal hak kita sebagai pengguna.

“Kita perjuangkan untuk semua tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau teraniaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE