Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SEDIA KHIDMAT KAUNSELING GUAMAN SECARA PERCUMA – UTUSAN MALAYSIA – 20/5/2017
20 May 2017

utusan malaysia 20.5.2017

Kuala Lumpur 19 Mei – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Malaysia Humanitarian Organization (MHO) hari ini melancarkan Biro Undang-Undang dan Kad Kaunseling Guaman (KAGUM) sebagai usaha membantu pengguna daripada diperdaya dengan sindiket penipuan.

Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Hishamuddin Hashim berkata, tujuan penubuhan biro berkenaan supaya masyarakat lebih waspada terhadap modus operandi sindiket penipuan walaupun menggunakan surat perjanjian yang hanya memberi keuntungan kepada satu pihak.

” Justeru, pengguna boleh mendapatkan nasihat kaunseling undang-undang dan perkhidmatan perundingan melalui biro ini secara percuma sebelum melakukan sebarang transaksi atau pelaburan. Ini kerana, aduan terhadap kes penipuan yang melibatkan pelaburan paling banyak diterima oleh pihak PPIM setakat ini.

” Malah, 10 laporan terhadap kes berkenaan yang diterima dalam masa sehari sehingga menyebabkan kerugian besar serta kesan buruk kepada pengguna. Biro ini juga akan bertindak seperti pusat rujukan untuk pengguna mengajukan apa-apa soalan berkaitan terma perjanjian sebelum memutuskan persetujuan menandatangani sebarang kontrak,” katanya dalam sidang akhbar sebelum Majlis Pelancaran Kagum di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah President PPIM, Datuk Nadzim Johan serta peguam-peguam Kagum.

Pengguna yang mengalami sebarang masalah boleh menghubungi 011-11181000 dan panggilan akan dijawab terus oleh peguam yang bertugas atau emelkan aduan ke ppimlegal@gmail.com .

Sementara itu, Hishamuddin berkata, seramai 35 peguam berpengalaman bersedia untuk mendengar aduan pengguna.

” Sekiranya kes mereka perlu dibawa ke mahkamah dan mendapatkan khidmat guaman kami juga sedia membantu dengan kos yang sangat minimum. Namun, kami berharap supaya usaha ini dapat mendidik dan membawa perubahan kepada pengguna agar lebih berhati-hati dan teliti di masa hadapan,” jelasnya.