Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SERBU PEJABAT AGR : KES CAPAI KATA SEPAKAT – SINAR ONLINE – 24/07/2017
25 Jul 2017

PPIM  serbu  pejabat AGR  Kes capai kata sepakat   Semasa   Sinar Harian

SERI KEMBANGAN – Akhirnya, perbincangan dan pertemuan hampir empat jam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan syarikat pajak kereta, AGR Auto Trade Holding Berhad berhubung dakwaan menganiaya pemilik kenderaan itu akhirnya mencapai kata sepakat.

Dalam perbincangan di pejabat AGR, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi hari ini, syarikat pajakan itu setuju menyerahkan lima buah kenderaan dan 53 kunci kereta kepada pemilik.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi berkata, perbincangan selama hampir empat jam itu merupakan satu titik permulaan ke arah penyelesaian berkenaan masalah pajakan kereta.

 Menurutnya, hari ini PPIM datang dengan cara yang baik untuk berbincang perkara ini.
“Ini adalah satu titik permulaan ke arah penyelesaian untuk selesaikan masalah pemajak (mangsa) dan mudah-mudahan dengan bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh AGR adalah satu perkara yang menepati janji.

“Mangsa-mangsa ini dibantu seperti yang dijanjikan dan saya harap rakyat Malaysia berhenti menyebarkan perkara-perkara mengenai AGR,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima penjelasan dari AGR dan ini adalah satu pendekatan yang bagus.

Katanya, AGR sudah maklum kepada kami bahawa mereka akan memberikan senarai kereta yang ada pada mereka selain akan buat laporan polis sekali lagi mengatakan bila tarikh mereka ambil-alih syarikat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AGR Auto Trade Holding Berhad, Datuk Seri C Kamaleshwaran berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa hari ini PPIM yang diketuai Yusof Azmi datang dengan cara yang baik.

“Kita telah bersetuju dan apa maklumat tentang pemajak kereta yang ada di sini, saya akan serahkan. Kalau pemajak hendak buat laporan polis itu terpulang mereka, kita tidak dapat mengarahkan pembebasan kereta lain kerana ia berada di bawah perjanjian sewa dengan pihak lain.

Jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan PPIM untuk mencari pihak pengurusan awal syarikat pajakan ini.

“Kita akan cari dan jumpa dengannya untuk dapatkan maklumat lanjut berhubung kereta-kereta lain termasuk yang berada di Sabah dan Sarawak serta beberapa negeri lain.

“Selain itu, kita juga telah buat laporan polis minggu lalu terhadap pengurusan lama syarikat ini sebelum syarikat ini diambil alih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah mengambil alih syarikat pajakan ini sejak May lalu dan syarikat itu kini dipengerusikan oleh isterinya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Aminuddin Megat Alias ketika dihubungi berkata, kes ini merupakan kes sivil.

“Siasatan telah pun selesai dan ini terpulang kepada pemilik kereta untuk ambil tindakan atau tidak kerana ia adalah kes sivil,” katanya ringkas.

Terdahulu, dilaporkan  PPIM menerima lebih 500 aduan mengenai penipuan syarikat pajakan kenderaan didalangi seorang lelaki bergelar Datuk Seri.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, modus operandi digunakan ialah sambung bayar menerusi satu perjanjian yang sebenarnya tidak membawa sebarang nilai.

“Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan,” katanya.

Seramai 23 pemilik kenderaan yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pajakan kenderaan berkumpul di sebuah premis simpanan kereta itu pada 10 Julai lalu, bagi menuntut semula kenderaan mereka yang ditemui di lokasi berkenaan yang diketuai Yusuf.

Berita selanjutnya di http://www.sinarharian.com.my/semasa/ppim-serbu-pejabat-agr-kes-capai-kata-sepakat-1.707798