Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PTPTN KENA PANTAU KOLEJ SWASTA – BERITA HARIAN – 4/1/18
04 Jan 2018

SnapshotKETUA Aktivif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan bersama mangsa, Noraini Muslim, 26, (kanan) ketika sidang media mengenai keculasan dan keengganan sebuah IPTS membayar semula baki yuran daripada PTPTN, di Kondominium Villa Puteri. – Foto Eizairi Shamsudin

 

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu memantau kolej swasta yang menawarkan kursus dengan tawaran pinjaman daripada tabung itu bagi mengelak kes penipuan wang pembiayaan pelajar sehingga menyebabkan ramai teraniaya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, PTPTN juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai sejauh mana kolej swasta boleh menguruskan urusan permohonan pinjaman untuk pelajar mereka.

Katanya, ketika ini pihaknya menerima lebih 30 aduan membabitkan penipuan oleh kolej swasta berkaitan dengan pinjaman PTPTN, termasuk potongan yuran yang lebih tinggi.

“Hasil siasatan bahagian Latihan Pendidikan PPIM, kita mendapati berlaku penipuan oleh kolej swasta tertentu yang mana mereka mengenakan bayaran masuk ke kolej lebih tinggi bagi pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN.

“Ada juga kolej yang membuat pemotongan daripada akaun pinjaman PTPTN pelajar lebih daripada yang sepatutnya dengan menyatakan sebagai bayaran pengurusan. Ini amat menyedihkan kerana pelajar bayar terpaksa membayar balik pinjaman dalam jumlah yang besar.

“Saya syorkan mungkin PTPTN turun padang untuk melihat kursus ditawarkan oleh kolej swasta dan membuat pemantauan mengenai pentadbiran dan pemotongan pinjaman ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya yang disiarkan secara langsung melalui Facebook PPIM di sini, hari ini.

Hadir sama, mangsa penipuan kolej swasta mengenai pemotongan wang pinjaman PTPTN yang enggan dikenali.

Mangsa memberitahu beliau terpaksa membayar RM70,000 bagi pengajian peringkat diploma dan ijazah dengan bayaran bulanan lebih RM500 sebulan.

Beliau juga mendedahkan ada pelajar yang mempertikaikan mengenai pemotongan pinjaman PTPTN untuk bayaran yuran kepada pengurusan kolej, dibuang pengajian pada tahun akhir.

Nadzim berkata kemudahan pinjaman PTPTN disediakan kerajaan bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan dapat menampung kos pengajian namun kini kolej swasta mengambil kesempatan menggunakan wang berkenaan dengan mengenakan pelbagai yuran yang tidak sepatutnya.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya kesal ramai yang mengambil kesempatan dalam isu berkenaan.

“Selain PTPTN, kita juga minta Kementerian Pendidikan Tinggi memantau perkara ini,” katanya.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

PTPTN KENA PANTAU KOLEJ SWASTA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/370872/ptptn-kena-pantau-kolej-swasta