Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAMADAN: KURANGKAN PERBELANJAAN, LEBIHKAN IBADAH – KOSMO – 22/5/2017
22 May 2017

KOSMO 22.5.2017

Ramadan bakal tiba dalam tempoh kurang seminggu. Mengenang Ramadan tahun lalu, penulis melaluinya ketika sarat mengandungkan zuriat sulung. Alhamdulilah, tempoh itu Berjaya ditempuhi dengan baik biarpun pada hari pertama Ramadan penulis terpaksa berulang-alik ke klinik sebanyak tiga kali untuk memeriksa kadar gula dalam darah.

Keputusan ujian darah pada sebelah pagi dan petang adalah normal tetapi pemeriksaan kira-kira sejam selepas berbuka puasa mendapati kandungan gula dalam penulis agak tinggi. Semuanya gara-gara tiga gelas air tebu dan makanan lain yang dijamah ketika berbuka puasa tanpa rasa bersalah.

Keputusan ujian itu juga turut memakan diri sendiri kerana penulis bukan sahaja merisikokan diri dan kandungan tetapi terpaksa berulang-alik ke klinik setiap minggu untuk melakukan ujian yang sama tiga kali iaitu pada pukul 8 pagi, 2 petang dan 8.30 malam.

Insiden itu menjadi pengajaran supaya penulis lebih berhati-hati ketika memilih juadah berbuka puasa dengan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bagi memastikan kadar gula dalam darah terkawal.

Bagaimanapun, sukar untuk menepis godaan pelbagai jenis makanan yang biasanya hanya ditemui pada Ramadan sama ada di bazar Ramadan ataupun di restoran dan hotel. Godaan kepelbagaianmenu tidak hanya kerana tarikan hidangan tersebut sebaliknya ia lebih kepada “balas dendam” kerana tidak dapat menikmati makanan seharian menyebabkan orang ramai membeli hidangan melampui had yang boleh dimakan.

“ Bulan puasa memberi peluang untuk kurangkan makan, kurang membazir dan membuat amalan yang baik-baik serta berjimat cermat. Jangan pula kita satukan makanan yang kita tidak dapat makan selama seharian berpuasa secara berlebihan pada waktu berbuka puasa,” ujar Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Jelasnya, kebanyakkan orang yang berpuasa akan tertarik untuk merasa semua jenis makanan ketika lapar tetapi apabila tiba waktu berbuka, mereka hanya boleh makan pada kadar yang diperlukan sahaja. Selebihnya dibazirkan begitu sahaja.

Menurutnya, bulan Ramadan perlu dimanfaatkan untuk mendidik diri menjaga kesihatan dengan menjaga kesihatan dengan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan.