Menurut Nadzim, kejadian kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin itu berlaku selepas beliau dan pembantunya melihat kenderaan Proton Saga yang dinaiki tiga orang penarik kereta berketurunan India memandu dalam keadaan yang mencurigakan apabila beberapa kali cuba menghimpit dan menyekat haluan Toyota Avanza berkenaan.

 Beliau yang kebetulan menyaksikan kejadian itu kemudiannya membuat keputusan mengekori Proton Saga tersebut bermula dari Bulatan Pahang hingga tempat kejadian.

“Sepanjang perjalanan dari Bulatan Pahang sehinggalah tiba pada lampu isyarat, Proton Saga terbabit turut dilihat memandu laju dan berbahaya dengan mengekori Toyota Avanza itu secara dekat.

“Sebaik sahaja berhenti di situ, setelah melihat dua daripada tiga orang penarik kereta itu turun dan bersikap agak biadab terhadap pemandu Toyota Avanza, saya dan rakan-rakan turut turun dari kereta bertemu mereka serta meminta pengesahan sama ada mempunyai surat atau kad kuasa yang sah untuk proses penarikan kereta.

“Namun, mereka gagal berbuat demikian sebaliknya cuba memberi alasan termasuklah sedang menunggu surat penarikan kereta dan sebagainya. Selepas beberapa minit bersemuka, mereka pun akhirnya setuju untuk berlalu pergi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Satu rakaman video berdurasi tiga minit yang memaparkan Nadzim bersemuka dengan ‘samseng’ penarik kereta itu semasa kejadian di lampu isyarat berhadapan Menara Celcom, Jalan Semarak tular dalam media sosial.

Persatuan itu turut memuat naik video penuh berdurasi empat minit 26 saat ke YouTube dan menerima 81,000 tontonan sehingga pukul 5 petang ini sejak mula dimuat naik kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Mengulas lanjut, Nadzim turut menggesa pihak bank dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya mengambil serius tentang perkara melibatkan proses penarikan kereta.

Menurutnya, penarik kereta seharusnya dilantik mengikut undang-undang dan proses yang sah termasuk diberi pakaian seragam serta latihan supaya tidak disalah guna.

“Kes seperti dalam video itu sebenarnya bukan kes baharu, malah berlaku hampir setiap hari. PPIM sering menerima aduan berhubung perkara ini, malah penarik kereta turut mengekori sehingga ke kediaman masing-masing.

“Ada juga kes penarik kereta tidak memulangkan pun kereta yang ditarik kepada pihak bank, namun melarikan diri selepas menarik kereta mangsa. Jadi, kita amat risau mengenai kejadian-kejadian seperti ini,” katanya.