Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEGERA BAWA KE MUKA PENGADILAN – METRO ONLINE – 3/2/2017
03 Feb 2017

Untitled

SEGERA BAWA KE MUKA PENGADILAN

Kuala Lumpur: Ambil tindakan tegas dan segera bawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Demikian gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung kejadian seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimalukan di laman sosial semata-mata enggan menerima ‘wang kopi’ dan mengeluarkan saman kepada seorang pemandu kerana menggunakan laluan kecemasan pada 27 Januari lalu.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pegawai terbabit dari JPJ Perak sedang melakukan rondaan sempena Operasi Tahun Baru Cina.

Katanya, pemandu terbabit diberikan saman atas kesalahan memandu di lorong kecemasan dan merayu supaya dilepaskan dengan cubaan memberi wang kepada penguat kuasa berkenaan.

Namun katanya, tidak lama kemudian, seorang pemilik akaun WeChat memuat naik gambar pegawai terbabit ketika menahan pemandu berkenaan dengan komen berbaur penghinaan.

“Kenyataan secara terbuka dan mengaibkan itu sememangnya tidak boleh diterima kerana ia jelas melangkaui batas kemanusiaan serta undang-undang.

“PPIM mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri.