Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan premis menjual minuman keras agar ia tidak lagi boleh dijual secara meluas seperti sekarang ini.

Menurut beliau, selain memudahkan anggota penguat kuasa mengawal penjualan minuman beralkohol tiruan, tindakan tersebut juga sekali gus mengurangkan kes-kes jenayah berpunca daripada pengambilan alkohol.

“Di Australia, individu tidak dibenarkan minum arak di tempat awam sebaliknya hanya boleh minum di kedai-kedai berlesen atau di rumah masing-masing.

“Mungkin undang-undang seperti ini boleh dipraktikkan di negara ini. Le­bih-lebih lagi mereka yang mabuk mengundang banyak masalah antaranya menyebabkan kemalangan jalan raya, rogol dan bergaduh,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo!semalam.