Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEKAT TALIAN ALONG LANGKAH PRAKTIKAL – HARIAN METRO – 26/7/18
26 Jul 2018

BH ( sekat Talian ahlong) 26.7.18

Kuala Lumpur: Sekat talian yang digunakan along. Itu cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kepada kerajaan sebagai satu langkah segera bagi membendung isu ceti haram di negara ini.

Aktivis Kanannya, Muhammad Zharif Johor berkata, langkah itu dilihat praktikal bagi membendung aktiviti itu yang semakin meningkat terutama setiap kali selepas musim perayaan.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pengalaman mengendalikan kes ceti haram sejak 10 tahun lalu, along menggunakan telefon bimbit sebagai alat pemasaran.

“Hanya talian telefon yang menghubungkan antara along dan peminjam, begitu juga sebaliknya. PPIM pernah mencadangkan kepada kerajaan satu masa dulu, tetapi tiada langkah susulan diambil.

“Kaedah itu mungkin boleh diperhalusi, tetapi perlu segera kerana kajian kami mendapati, selain iklan dan promosi di laman sosial, telefon bimbit juga menjadi kaedah pemasaran terancang rangkaian along di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Pejabat PPIM di sini, semalam.

Muhammad Zharif berkata, bukan saja promosi langsung menggunakan telefon bimbit, along juga menggunakan platform media sosial untuk mengumpan mangsa.

Menurutnya, along menawarkan pinjaman mudah dan pinjaman tanpa cagaran dengan kadar faedah rendah.

Katanya, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana mereka (along) mendapat nombor peribadi orang ramai dan ia perlu dibincangkan secara bersama oleh pelbagai agensi berkaitan.

Mengulas isu sama, Muhammad Zharif berkata, pihaknya menerima lebih 20 aduan berkaitan pinjaman ceti haram dalam tempoh sebulan lalu.

Dia memberitahu aduan berkenaan membabitkan pinjaman ‘hari raya’ berjumlah RM1,000 hingga RM20,000.

“Kalau ikutkan trend dua tahun lalu, memang kes berkaitan along akan meningkat kerana peminjam mahukan duit dalam jumlah banyak untuk berhari raya dan beli barangan lain mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro

SEKAT TALIAN ALONG LANGKAH PRAKTIKAL