Di bawah Fasal 4 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), data peribadi ditakrifkan sebagai ‘apa-apa juga maklumat berkenaan dengan transaksi komersial yang tersimpan dan dikendalikan secara automatik atau dalam sistem fail’.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan untuk memberi atau mendedahkan maklumat itu kepada pihak lain, setiap individu wajib memastikan tujuan pemprosesan data peribadi oleh pengguna data (individu atau syarikat yang memproses data peribadi).

Berdasarkan laporan-laporan yang diterima oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dalam kebanyakan kes, didapati mangsa-mangsa yang terlibat kurang memahami natijah daripada tindakan mereka menyerahkan data peribadi tersebut kepada pihak lain.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa tidak sewajarnya dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini kerana dalang sebenar jenayah ini adalah ah long dan sindiket yang berniat memperdayakan mereka.

Jelas beliau, pihaknya menerima lebih 60 laporan daripada orang ramai yang terpedaya dengan sindiket terbabit dan ah long.

“Daripada laporan yang dibuat, kami dapati maklumat akaun itu sering digunakan dalam penipuan urus niaga dalam talian, jual beli kenderaan, hartanah dan paling popular, pinjaman mudah.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila pihak yang ditipu dalam urusan-urusan berkenaan membuat laporan polis kerana disebabkan akaun yang men­­jadi petunjuk utama dalam siasatan polis itu milik mangsa, merekalah yang akan menanggung akibatnya manakala dalang sebenar terlepas,” katanya.

Dari sudut perundangan, beberapa peguam yang ditemui Mingguan Malaysia menyatakan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan berkenaan.

Dalam kebanyakan kes yang diwakili, para peguam berkenaan memberitahu, anak guam mereka kebiasaannya akan dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 402 atau Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Peguam, Heather Marie Anthony berkata, mereka dikenakan pertuduhan di bawah salah satu atau kedua-dua akta berkenaan kerana jejak kewangan yang dikesan oleh pihak polis akan menjurus kepada akaun-akaun yang dibuat atas nama mangsa.

“Perkara ini berlaku kerana semua transaksi dalam peni­puan dilakukan menggunakan akaun mangsa. Mengikut impli­kasi undang-undang, pihak polis akan membuat siasatan berdasarkan jejak transaksi wang tersebut dan maklumat yang diberikan oleh mangsa,” katanya.