Namun begitu, kini timbul pula kes keldai akaun apabila akaun bank pengguna dimanipulasi pihak ketiga yang menggunakan akaun itu sebagai sumber meletakkan wang tidak diketahui punca sehingga menyebabkan diberkas pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berwajib supaya lebih peka dengan situasi yang dihadapi mangsa dan tidak terus menjatuhkan hukuman.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, apa yang lebih menyedihkan ialah pengguna telah ‘diseksa’ dengan dikenakan tahanan reman sehingga beratus hari dan akhirnya terpaksa mengaku bersalah hanya untuk menutup kes.

Jelas beliau, sehingga hari ini pihaknya telah pun menerima kira-kira 70 aduan pengguna melibatkan jumlah hampir RM10 juta yang telah menjadi mangsa kepada sindiket keldai akaun.

“Kita yakin undang-undang sewajarnya dikenakan kepada siapa yang bersalah. Namun, kebanyakan kes yang kita terima yang mereka ditahan tanpa budi bicara sehingga ada yang dipaksa mengaku bersalah semata-mata untuk menutup kes atas alasan denda lebih murah dan mudah.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berkuasa perlu mencari siapa yang dibelakangnya, bukan pemegang akaun itu sahaja. Mereka sepatutnya melakukan siasatan terperinci untuk mengumpul maklumat bagi membuktikan mangsa keldai akaun itu telah dipergunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung isu tersebut di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE