Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TELITI PRODUK GUNA COGAN KATA ‘SIHAT’ – UTUSAN MALAYSIA – 7/2/18
07 Feb 2018

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan agar Kementerian Kesihatan meneliti semula barisan produk yang dilabel dengan menggunakan cogan kata ‘sihat’ bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, penggunaan cogan kata ‘sihat’ perlu dijadikan sebagai eksklusif seperti label ‘halal’ bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan kandu­ngan produk berkenaan.

‘‘Kami amat prihatin dan cakna terhadap tahap kesihatan rakyat yang dikatakan menduduki tempat teratas senarai tidak sihat di Asia.

‘‘Justeru, PPIM berharap Kementerian Kesihatan dapat mengeluarkan kenyataan rasmi dengan segera berhubung isu ini kerana boleh mengelirukan para pengguna terutama kanak-kanak yang sangat sukakan minuman Milo,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, video yang dimuat naik oleh Vishen Lakhiani pada 25 Januari lalu, menjadi tular di media sosial apabila menyatakan Milo mempunyai kandungan gula yang tinggi iaitu sebanyak 40 peratus tidak sepatutnya dilabel sebagai minuman yang menyihatkan.

Lanjutan daripada video viral tersebut, Nadzim Johan berkata, pihaknya dihujani de­ngan pelbagai perta­nyaan daripada pengguna mengenai jumlah sebenar kandungan gula yang terdapat dalam minuman Milo.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Othman Md. Yussoff berkata, pihaknya menolak dakwaan produk Milo keluarannya mempunyai kan­dungan gula yang terlalu tinggi dan menganggap video media sosial yang kini tular sebagai mengelirukan pengguna.

Katanya, kandungan 40 peratus gula seperti yang tertera pada bungkusan serbuk minuman tersebut, separuhnya terdiri daripada laktosa, glukosa dan glukolaktosa iaitu bahan semula jadi yang terkandung dalam susu dan separuh lagi gula dalam bentuk serbuk.

‘‘Kandungan serbuk Milo mempunyai kadar gula sebanyak 40 peratus kerana ia merupakan serbuk pati, yang mana ia perlu dibancuh terlebih dahulu.

‘‘Pengguna perlu me­ngikut arahan pembancuhan, lima sudu teh serbuk Milo yang dibancuhkan dalam air sebanyak 200 mililiter hanya mempunyai kandungan gula sebanyak enam peratus sahaja,’’ katanya.

Dalam pada itu, Othman menegaskan bahawa minuman Milo keluaran syarikatnya merupakan minuman sihat dan cogan kata yang digunakan ‘Minum Milo Anda Jadi Sihat dan Kuat’ akan terus dikekalkan.

 

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

TELITI PRODUK GUNA COGAN KATA ‘SIHAT’ – UTUSAN MALAYSIA

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-teliti-produk-guna-cogan-kata-8216-sihat-8217-1.604263#ixzz56OcxggMi

https://www.youtube.com/watch?v=KOHVPvxfxao#action=share
© Utusan Melayu (M) Bhd