Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TERIMA KASIH BERI PELUANG INI – HARIAN METRO – 12/3/18
12 Mar 2018

Snapshot

 

Kuala Lumpur: “Ruang yang ada ini memang ditunggu-tunggu penggiat seni. Saya akan gunakan peluang sebagai ikon Gerakan Tunai Zakat, bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menggalakkan ramai orang membayar zakat dan ini juga kerja yang baik.

“Semua ini untuk manfaat kita bersama, kena angkat perkara ini supaya diketahui masyarakat. Satu permulaan yang baik untuk kita suburkan amalan membayar zakat. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya,” kata pelakon dan pelawak Saiful Apek.

Pelawak tersohor itu dilantik sebagai ikon untuk menggerakkan Kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat Perniagaan (SPPZ) 2018 anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama PPIM bertujuan menggalakkan lebih ramai peniaga dan pemilik syarikat membayar zakat.

Menurutnya, peluang diberikan akan digunakan sebaik mungkin kerana di dalam industri seni sendiri, pelbagai isu perlu diberi perhatian termasuk soal kebajikan artis.

Katanya, hasil perbincangan dan taklimat bersama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan semalam, dia yakin usaha itu mendapat sambutan apatah lagi, isu pembayaran zakat perlu diberi keutamaan termasuk mereka yang berada dalam industri seni.

“Saya faham konsep dan dasarnya, apatah lagi disokong PPIM sendiri yang kita tahu gerak kerjanya terbukti dalam membantu pengguna di negara ini. Ini bukan saja soal pengguna atau pun produk, ia merangkumi kebajikan artis, kerana kita juga perlukannya.

“Dalam industri ini bermacam kes berlaku, tetapi saya rasa soal bayar zakat ini seperti terlepas pandang. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik menggunakan platform baru ini,” katanya di Pejabat PPIM Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pada pertemuan itu, Apek atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusof, mendengar taklimat mengenai kempen berkenaan yang dijalankan selama tiga bulan, berakhir pertengahan Mei depan.

Antara pengisiannya termasuklah program turun padang, berkunjung dari pintu ke pintu untuk berjumpa peniaga dan masyarakat dalam memberi kesedaran mengenai kewajipan menunaikan rukun Islam itu.

Minggu lalu, PPZ-MAIWP bersama PPIM menemui peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Wisma Yakin untuk memberi kesedaran betapa pentingnya membayar zakat serta hikmah menyucikan harta.

Sementara itu, Nadzim berkata, program Ziarah Zakat akan diteruskan di Kompleks Keramat Mall di ibu negara Selasa depan untuk berjumpa dengan usahawan dan peniaga di situ.

Katanya, selepas ini, program sama akan dijalankan di beberapa lokasi lain dan pihaknya mensasarkan sehingga 60,000 peniaga kecil khususnya di Wilayah Persekutuan menjadi pembayar zakat.

Nadzim berkata, pihaknya sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan sekali gus menjayakan program dianjurkan.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

TERIMA KASIH BERI PELUANG INI

https://www.hmetro.com.my/utama/2018/03/320072/terima-kasih-beri-peluang-ini