Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIDAK SESUAI NAIKKAN KADAR TARIF AIR MASA INI – MALAYSIA GAZETTE – 10/1/19
10 Jan 2019

Malaysia Gazette ( tidak sesuai naikn tarif air buat masa kini ) 10.1.19-01

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju terhadap langkah kerajaan yang mahu menaikkan kadar tarif air.

Ini kerana, rakyat pada masa ini terbeban dengan pelbagai masalah terutamanya melibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan.

Menurut beliau, langkah untuk menaikkan tarif air dilihat tidak sesuai lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan ia boleh memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.

“Saya rasa pada masa ini tidak sesuai kerajaan naikkan tarif air dikala semua benda (harga barang) melambung naik.

“Ini akan menyebabkan orang ramai melenting nanti. Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengambil langkah mendidik rakyat supaya menjimatkan penggunaan air agar tidak membazir,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nadzim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan yang mahu menaikkan kadar tarif air secara berperingkat tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif air dijangka naik

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar memberitahu, langkah tersebut akan diambil selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Malah katanya, kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen berang tarif air naik

Dalam pada itu Nadzim berpendapat, kerajaan harus menangguhkan terlebih dahulu hasrat itu bagi mengelakkan rakyat terus tertekan dengan situasi ekonomi pada masa ini.

“Apa saja kenaikan terhadap barang atau perkhidmatan sememangnya akan memberikan kejutan. Lebih-lebih lagi apabila perkara yang melibatkan perbelanjaan pengguna masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan memberi pendedahan kepada rakyat untuk menjimatkan penggunaan air ini daripada menekan mereka dengan menaikkan kadar tarif berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Artikel Oleh : Malaysia Gazette

TIDAK SESUAI NAIKKAN KADAR TARIF AIR MASA INI

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/09/tidak-sesuai-naikkan-kadar-tarif-air-masa-ini-ppim/