Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, syarikat lain yang melakukan kesalahan sama sudah tentu tidak senang duduk dan akan segera menyelesaikan cukai yang masih belum dibayar.

Menurutnya, hasil daripada tindakan LHDN itu akan memberi impak positif terhadap aliran ekonomi negara.

‘‘Kesalahan ini bukan sesuatu yang baharu berikutan kelicikan ejen cukai yang dilantik. LHDN perlu lebih berhati-hati dalam bertindak. Apabila jejak yang disembunyikan ditemukan, pasti pihak yang memanipulasi undang-undang tidak akan terlepas daripada tindakan.

‘‘Penglibatan syarikat gergasi dalam kegiatan mengelak cukai adalah sesuatu yang amat memalukan dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dalam jangka panjang. Oleh itu, syarikat-syarikat yang turut mela­kukan kegiatan sama digesa untuk melunaskan cukai kepada LHDN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yusof berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah bahawa tindakan telah pun diambil terhadap syarikat-syarikat terlibat dengan menghentikan semua pembayaran balik selain diarahkan membayar jumlah cukai sebenar serta dikenakan pe­nalti RM800 juta.

Katanya, LHDN juga sedang memburu sekurang-kurangnya 50 lagi syarikat korporat terkemuka dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan yang turut me­lakukan kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Jais Abdul Karim pula berpendapat, individu yang mengendalikan mana-mana syarikat korporat perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang amalan yang boleh me­rugikan negara.

‘‘Mereka harus sedar bahawa masyarakat akan turut menerima kesan negatif apabila kerajaan tidak menerima sebarang pembayaran cukai. Pembangunan dalam negara menjadi sukar untuk dijalankan.

‘‘Semua pihak perlu sedar bahawa aliran ekonomi negara sedang lemah, maka janganlah ditambah pula dengan sikap dan budaya yang mementingkan keuntungan semata-mata kerana perbuatan sedemikian wajar dihentikan,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, pembayaran cukai adalah sesuatu yang wajib dan syarikat tidak perlu risau kerana mereka sebenar­nya tidak akan mengalami apa-apa kerugian.

“Cukai yang dibayar adalah untuk membantu syarikat masing-masing meningkatkan prestasi perniagaan, namun dalam kes ini kebanyakan individu yang me­nguruskan syarikat tidak berlaku jujur dan akhirnya mereka terpaksa mengalami kerugian akibat kesalahan sendiri.

‘‘Perkara ini perlu dibendung agar kegiatan itu tidak menjadi ikutan kakitangan. Ejen-ejen cu­kai yang bersubahat memanipulasi kaedah percukaian yang diamalkan di negara ini sememangnya wajar dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran,” katanya.