Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TINDAKAN TEGAS PERLU TERHADAP PENCETUS KEBENCIAN : PPIM – KENYATAAN MEDIA PPIM – 11/7/18
11 Jul 2018

KUALA LUMPUR 11 Jul – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap individu-individu yang secara terang cuba mencetuskan provokasi kaum dan agama di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata sejak akhir-akhir ini kenyataan yang seolah-olah mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam di negara ini semakin menjadi-jadi.

“Setakat ini tiada tindakan lagi diambil keatas perbuatan yang jelas salah disisi agama Islam, iaitu LGBT, kini timbul pula kenyataan yang mencabar kedudukan Institusi Di Raja Negara ini dan menghasut kebencian terhadap agama Islam dengan memfitnah institusi pendidikan tahfiz sebagai mengamalkan agama jumud” katanya disini hari ini.

Nadzim berkata tindakan harus diambil bagi menghentikan penghinaan tersebut kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan tindakbalas diluar jangkaan oleh umat Islam di negara ini.

“Hari ini kita lihat seolah-olah semua orang mahu menjadi wira ‘Malaysia Baru’ dan pelbagai kenyataan yang berbaur dendam, hasutan serta kebencian mula tular”

“Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga diluar kawalan, tindakan harus diambil, tidak kira apa agama dan bangsa mereka” katanya.

Nadzim mempersoalkan apa tujuan peguam dan aktivis Pakatan Harapan (PH), Fadiah Nadwa Fikri yang mendakwa sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan didalam institusi demokrasi negara berikutan kewujudan monarki dianggap ketinggalan zaman dikebanyakan negara di dunia.

“Apakah dia tidak tahu rukun negara yang kedua, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Itu merupakan asas pembentukan negara kita Malaysia, adakah Fadiah Nadwa ini sedar kesan atas kenyataannya itu?” tanya Nadzim.

“Mungkin apa yang rakyat Malaysia perlukan ialah institusi diraja yang lebih terbuka dan mesra dengan rakyat, rakyat memerlukan raja yang menjadi payung rakyat dan mengasihi rakyat, namun cadangan menghapuskan institusi Diraja adalah tidak masuk akal” katanya.

Nadzim menasihati rakyat Malaysia supaya fokus kepada membawa Malaysia ke arah yang maju tanpa melupakan asal usul terbentuknya negara ini.

“Bukan tidak boleh ada perubahan tetapi perlukah sehingga menidakkan asas pembentukan negara kita yang tercinta ini, adakah sehingga perlu menggadaikan agama sendiri?” Kata Nadzim lagi.

Nadzim menegaskan walaupun politik di negara ini telah berubah namun sikap sesetengah pengamal politik dan rakyat masih tidak berubah.

“Apa gunanya kita minta perubahan tetapi kita masih menyuntik rasa kebencian terhadap satu sama lain, yang salah biarlah mahkamah yang menghukum, tidak perlu kita menyemai kebencian dan memecahbelahkan rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika dihubungi oleh Media PPIM, Pakar Sejarah, Professor Tan Sri Khoo Kay Kim berkata amat menyedihkan apabila generasi muda negara ini tidak faham sejarah pembentukan negara dan sewenang-wenangnya mahu menghapuskan sebahagian penting sejarah negara dan dunia.

“Pihak British datang ke Tanah Melayu dan mengakui kaum Melayu adalah lelaki budiman yang sejati namun tanpa institusi Diraja, kaum Melayu tidak punya apa-apa,” katanya.

Khoo berkata Malaysia tidak perlu melihat jauh, jiran terdekat negara ini seperti Thailand dan Brunei masih mengamalkan institusi Diraja sedangkan Thailand sudah beberapa kali bertukar kerajaan.

“Ia amat menyedihkan apabila generasi kita kini tidak tahu dan tidak ambil tahu tentang pentingnya peristiwa-peristiwa lampau yang membawa kepada pembentukan negara yang kita kenali sebagai Malaysia kini,” katanya.

Khoo berkata Institusi Diraja, sekolah-sekolah pondok, agama Islam, dan Komunis antara perkara penting yang berlaku di tanah melayu sebelum pembentukan negara ini jadi mana mungkin semua ini dihapuskan setelah pertukaran kerajaan berlaku kerana semua perkara tersebut merupakan asas pembetukan negara Malaysia.

Minggu lalu bekas menteri UMNO, Tan Sri Zainuddin Maidin meminta menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mujahid Yusof Rawa menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada “amalan agama jumud”.

Selain berkata sunnah Nabi SAW telah dimodenkan menjadi komersialisme, Zainuddin turut menegur UMNO yang mempertahankan anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilaporkan dilihat di Taiwan bersama aktres negara itu. – MEDIA PPIM
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60137990032. Terima Kasih. [TAMAT]