Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIPU: DATUK KABI DIJEL 3 TAHUN, SEBAT – UTUSAN MALAYSIA – 24/8/2017
24 Aug 2017

utusan malaysia 24.8.2017

Kuala Lumpur 23 Ogos – Seorang ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya sebagai “Datuk Kabi” dihukum penjara tiga tahun,sebatan dua kali dan denda RM 10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari selepas didapati bersalah atas tuduhan menipu seorang jual beli kereta bernilai RM 85,000 tiga tahun lalu.

Majistret Rahni Kartini Abd. Rahim memutuskan demikian terhadap C. Kamaleshwaran, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Rahni Kartini turut memerintah bapa kepada tiga cahaya mata itu menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebatan terhadap Kamaleshwaran sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat wang jaminan terhadapnya ditambah RM 3000 kepada RM 5000 berserta seorang penjamin.

Ahli keluarga Kamaleshwaran yang hadir bersama beberapa pengawal peribadinya membayar denda dan wang jaminannya tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kamalashwaran didakwa menipu Noor Azman Saat,50, dalam urusan jual beli kereta Mercedes Benz E200K bernombor pendaftaran JMN 880, dengan membayar sekeping cek bernilai RM 85,000 yang tidak dapat ditunaikan.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan kereta miliknya kepada tertuduh di Villa Seren Kiara 6, Sri Hartamas di sini antara 25 Oktober dan 29 Oktober 2014.

Lelaki itu didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar membantah permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran.

Peguam, K.Thiru yang mewakili tertuduh pula memohon anak guamnya dikenakan hukuman bon berkelakuan baik dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak yang masih kecil dan perlu menjaga ibu yang sakit.

“Tertuduh adalah seorang ahli perniagaan dan mempunyai 300 kakitangan yang bergantung kepadanya selain turut menghidap penyakit kencing manis,”katanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 10 Ogos 2015, pihak pendakwaan mengemukakan lapan saksi manakala pembelaan memanggil tertuduh sahaja sebagai saksi.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya ‘Datuk Kabi’ ekoran dakwaan penglibatannya dalam kes penipuan syarikat pajakan kenderaan di Kajang.

PPIM mendakwa terdapat 1000 laporan dan 500 individu yang ditipu oleh sebuah syarikat perniagaan pajakan kenderaan yang dimiliki individu tersebut.