Pengerusi Biro Undang-Un­dang PPIM, Hishamuddin Hashim berkata, tujuan pe­nubuhan biro berkenaan supaya masyarakat lebih berwaspada terhadap modus ope­randi sindiket penipuan walaupun menggunakan surat perjanjian yang hanya memberi keuntungan kepada satu pihak.

“Justeru, pengguna boleh mendapatkan nasihat kaunseling undang-undang dan perkhidmatan perundingan melalui biro ini secara percuma sebelum melakukan sebarang transaksi atau pelaburan. Ini kerana, aduan terhadap kes penipuan yang melibatkan pelaburan paling banyak diterima oleh pihak PPIM setakat ini.

“Malah, 10 laporan tentang kes berkenaan yang diterima dalam masa sehari sehingga menyebabkan kerugian besar serta kesan buruk kepa­da pengguna. Biro ini juga akan bertindak seperti pusat rujukan untuk pengguna mengajukan apa-apa soalan berkaitan terma perjanjian sebelum memutuskan persetujuan menandatangani sebarang kontrak,” katanya dalam sidang akhbar sebelum Majlis Pelancaran Kagum di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presi­den PPIM, Datuk Nadzim Johan serta peguam-peguam Ka­gum.


Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK

Pengguna yang mengalami sebarang masalah boleh meng­hubungi 011-11181000 dan panggilan akan dijawab terus oleh peguam yang bertugas atau emelkan aduan ke ppimlegal@gmail.com.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, seramai 35 peguam berpengalaman bersedia untuk mendengar aduan pengguna.

“Sekiranya kes mereka per­lu dibawa ke mahkamah dan mendapatkan khidmat guaman kami juga sedia membantu dengan kos yang sa­ngat minimum. Namun, kami berharap supaya usaha ini dapat mendidik dan membawa perubahan kepada pengguna agar lebih berhati-hati dan teliti di masa hadapan,” jelasnya.