Perkara itu tidak boleh dipandang mudah kerana titik-tolaknya mungkin lebih ramai rakyat yang menjadi mangsa tampil melakukan tindakan sendiri kerana sudah hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa.

Bukan satu atau dua laporan polis dibuat, namun tidak ada satu usaha yang menampakkan perkembangan kes itu walaupun sudah berbulan lamanya hingga mereka meminta bantuan PPIM sebagai pemudah cara.

Tindakan yang mereka ambil mungkin salah menurut perspektif pihak berkuasa, namun apakah jalan yang mereka ada, hutang kepada bank sudah berbulan tidak berbayar hingga kereta terpaksa ditarik sedangkan laporan kepada pihak berkuasa sudah lama dibuat.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, apa yang berlaku itu boleh diibaratkan satu wake-up call kepada pihak berkuasa dan juga bank kerana mungkin menganggap ia perkara remeh.

“PPIM bertindak atas dasar menyuarakan suara rakyat yang telah lama terbuku dan itu adalah salah satu peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi orang tengah kepada pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa tidak seharusnya memusuhi NGO dan seharusnya menjadikan mereka sebagai rakan dalam menangani pelbagai isu yang mungkin selama ini terlepas pandang,” katanya.

Ketidakadilan banyak berlaku dan selalu yang menjadi mangsa adalah rakyat. Seharusnya pihak berkuasa dan bank perlu mengkaji mekanisme lain seperti memantapkan undang-undang sedia ada,

Pihak bank juga dilihat menggunakan mereka yang ditugaskan menarik kereta dalam kalangan yang terlibat dengan aktiviti gengsterisme kononnya memudahkan tugas mereka.

Jika pihak berkuasa mampu menjalankan tugas lebih efisien dan proaktif, perkara seperti itu mungkin dapat dielakkan dan rakyat boleh menjadikan pihak berkuasa tempat menyuarakan permasalahan mereka.

Apa yang dikhuatiri kini, apabila rakyat sudah tidak percaya dan tidak tahu ke mana saluran untuk mengadu masalah, akhirnya tindakan sendiri yang akan diambil yang pastinya mengganggu keamanan negara.