Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Wujudkan Mekanisme Kawalan Elak Penipuan Jual Beli Online – Berita Harian – 17/7/2017
17 Jul 2017

Sedikit sebanyak memang mengejutkan laporan yang menyatakan berlakunya 30,000 kes tipu jual beli dalam talian membabitkan pengiklanan melalui laman web.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beranggapan keadaan itu disebabkan ketiadaan peraturan atau undang-undang mengawal laman web yang menyediakan ruang pengiklanan menyebabkan berlaku manipulasi untuk menipu pengguna.

Tentu mengecewakan kepada sesiapa sahaja jika pembelian melalui laman web tidak membawa apa- apa hasil, produk yang dibeli tidak sampai-sampai tetapi wang sudah diambil.

Laporan juga mendedahkan bahawa purata kerugian pengguna dari segi wang adalah antara RM500 hingga RM30,000. Mungkin ada yang menggeleng kepala kerana penipuan membabitkan jual beli kereta dalam talian, selain telefon bimbit, produk elektrik, haiwan peliharaan, barang hobi dan kemudahan rumah sewa.

Mudah dimanipulasi

Saya percaya urusan dalam talian mudah dimanipulasi kerana belum ada mana-mana pihak dapat menghasilkan sistem pertahan kebal daripada aktiviti godam.

Malah, ketika mengemukakan carian di Google, enjin carian itu memaparkan satu laman web bertajuk ‘how-to-cheat-at-e-commerce’ (bagaimana menipu dalam e-dagang).

Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mungkin dapat mengesan laman web seperti ini dan menghalangnya dari tontonan ramai bagi mengelak penipuan.

Baru-baru ini, akhbar BH memaparkan satu grafik menunjukan bagaimana modus operandi penipuan dijalankan dengan menyiarkan grafik mendedahkan cara penipuan dalam talian dilakukan.

Syor hukuman berat

Seeloknya orang ramai lebih berhati-hati selepas ini untuk menggunakan talian bagi membeli apa-apa produk. Sekurang-kurangnya mereka mengikut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, yang mencadangkan hukuman denda yang lebih berat ke atas mereka yang melakukan penipuan atas talian.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan supaya diwujudkan mekanisme kawalan terhadap laman web yang menyediakan perkhidmatan jual beli dalam talian dan salah satu daripadanya ialah pengendali laman berkenaan juga mesti tahu latar belakang  individu atau syarikat penjual produk.

Ini juga boleh mengelakkan kes pihak pengadu melaporkan kepada polis bahawa syarikat mereka disalah guna oleh pihak lain untuk memperdayakan mangsa menggunakan laman web yang sama.

Ringkasnya, selain pengguna berhati-hati, pihak lain yang terbabit, termasuk agensi penguatkuasa dan syarikat jual beli juga memainkan peranan masing-masing bagi mencegah penipuan berulang.

berita harian 17.7.2017