Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1012) HARIAN METRO 29/11/2013 – ALONG OH ALONG!
29 Nov 2013

Headline: Along oh Along !
Publication: HM
Date of publication: Nov 29, 2013
Section heading: Majalah Metro
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
TERDESAK akibat perniagaan merudum, seorang kontraktor
syarikat kejuruteraan yang hanya mahu dikenali sebagai Hashim, 63, mengakui dia
terpaksa meminjam wang daripada tujuh along semata-mata mahu membayar pelbagai
keperluan termasuk gaji pekerja, sewa premis, elektrik dan air.
Pada awalnya saya membuat pinjaman daripada seorang along
sembilan bulan lalu sebanyak RM20,000.
Sebelum meminjam, along memberitahu kadar bunga yang
dikenakan adalah sebanyak 10 peratus bagi tempoh 12 hari, namun selepas sebulan
kadar itu bertukar kepada 10 peratus dalam masa 10 hari.
“Ketika itu, saya masih mampu membayar hutang itu, namun
selepas sebulan along menghubungi memaklumkan kadar bunga naik kepada 15
peratus bagi tempoh 10 hari.
“Saya mula menggelabah kerana sebelum ini hanya
membayar RM2,400 dalam masa 12 hari, namun selepas kadar bertukar saya perlu
membayar sebanyak RM3,000.
“Saya tidak dapat meneruskan bayaran kerana terlalu
tinggi sedangkan perniagaan semakin merosot,” katanya.
Walaupun hanya meminjam RM20,000, dia sudah menyelesaikan
hutang itu dengan bayaran lebih RM30,000.
Katanya, dalam keadaan kewangan yang teruk, along lain
menghubungi dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM20,000 bagi membayar hutang.
Akibat terdesak dan ugutan daripada along sebelum ini, dia
mengambil keputusan membuat pinjaman daripada tujuh along.
Jumlah semua pinjaman sebanyak RM100,000 dan setakat ini dia
sudah membayar lebih RM200,000 kepada tujuh along itu, namun ia masih tidak
mencukupi sehinggakan semua along mula memburunya.
Tidak cukup dengan panggilan telefon dan khidmat pesanan
ringkas (SMS), mereka turut datang ke pejabatnya dan melakukan pelbagai ugutan.
“Takut dengan ugutan itu saya cuba melarikan diri,
namun mereka sungguh licik kerana dapat mencari saya ke mana jua.
“Saya kini bimbang dengan keselamatan keluarga kerana
mereka sanggup mengganggu kehidupan saya untuk mendapat wang yang
dimahukan,” katanya.
Menurutnya, keadaan perniagaan yang merosot dan gangguan
along itu membuatkan dia juga berada dalam tertekan hingga menjejaskan
kesihatan diri.
“Saya tidak begitu sihat kerana mempunyai penyakit
jantung dan bimbang sekiranya gangguan itu akan menjejaskan lagi tahap
kesihatan.
“Saya nasihatkan kepada semua supaya tidak membuat
pinjaman daripada along walaupun dalam keadaan terdesak kerana ia hanya akan
memakan diri dan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Hashim meminta bantuan Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) beberapa minggu lalu kerana tidak mahu along mengganggu
dan mendesaknya supaya membuat bayaran tidak munasabah.
SELESAI MEMBAYAR PUN JADI BURUAN
Seorang lagi ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali
sebagai Mohamad, 53, berkata dia terpaksa membuat pinjaman along selepas wang
simpanannya berjumlah kira-kira RM700,000 habis dilaburkan untuk membuat kajian
tumbuh-tumbuhan pada awal 2012.
“Saya membuat pelaburan itu kerana mahukan geran kajian
dan menyahut seruan kerajaan, namun selepas membuat pelaburan, saya masih tidak
mendapat geran.
“Akibat ketiadaan wang dan terdesak untuk membayar gaji
tiga pekerja, bil elektrik, sewa pejabat dan bil air, saya mengambil keputusan
meminjam daripada along.
“Saya membuat pinjaman sebanyak RM25,000 pada akhir
2012 dengan seorang along tetapi hanya mendapat RM20,000,” katanya.
Menurutnya, ketika membuat pinjaman kadar bunga dikenakan
sebanyak 12 peratus untuk tempoh 12 hari, namun kadar itu meningkat selepas
beberapa kali pembayaran.
Dia dapat membayar pinjaman dengan baik termasuk bunga iaitu
sebanyak RM38,000. Sebaik habis membayar Ogos lalu, pihak along masih
mengganggu apabila datang ke rumahnya di Gombak dan mengugut melalui telefon.
Dia tidak mahu membayar baki wang sebanyak RM15,000 kerana
sudah selesai membuat bayaran seperti dalam perjanjian.
Along itu juga mencari sehingga ke ‘lubang cacing’ dengan
memasang geng mereka di kawasan yang selalu dikunjungi peminjam.
Akibat selalu diburu, Mohamad kini takut untuk keluar
seorang diri dan hanya melakukan kerja di kawasan pejabat dan rumahnya.
Menurutnya, dia terpaksa minta bantuan PPIM kerana tidak
mahu terus diganggu demi menjaga keselamatan diri dan keluarga juga tidak mahu
mereka menerima akibat daripada pinjaman itu.
Mohamad menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil
keputusan meminjam daripada along yang pasti memberi risiko.