Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1013) HARIAN METRO 29/11/2013 – PINJAM RM500 BUNGA 200 PERATUS
29 Nov 2013

Headline: Pinjam RM500, bunga 200 peratus

Publication: HM
Date of publication: Nov 29, 2013
Section heading: Majalah Metro
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
SUMBER kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung
keperluan hidup dan masalah perniagaan merudum menjadi faktor utama ramai yang
membuat pinjaman daripada along tanpa memikirkan risikonya.
Ramai juga peminjam bermasalah kerana taraf kehidupan yang
tinggi sekali gus memaksa mereka membuat pinjaman untuk membeli keperluan
harian.
Selain itu, ada juga ahli perniagaan yang kebiasaannya
memperoleh keuntungan besar secara tiba-tiba mengalami kerugian akibat pelbagai
cabaran berniaga.
Perkara itu diakui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang memberitahu, kebanyakan mangsa along
adalah golongan peniaga dan individu bergaji kecil.
Taraf hidup yang tinggi di bandar memaksa mereka membuat
pinjaman walaupun mengetahui kesannya apabila diburu dan diganggu tanpa henti.
“Banyak kes kami terima daripada kalangan peniaga yang
membuat pinjaman sekitar RM500 sehingga puluhan ribu ringgit tetapi mereka
dikenakan kadar bunga sehingga 200 peratus.
“Jumlah yang perlu dibayar mencecah ribuan ringgit
sehingga tujuh juta bagi pinjaman RM500,000. Walaupun ia tidak munasabah, kadar
itu perlu dibayar peminjam bagi mengelak diburu,” katanya.
Beliau berkata, statistik bagi tempoh Januari hingga Oktober
tahun ini menunjukkan kirakira 9,000 aduan diterima pihaknya daripada mereka
yang diburu along.
Setiap hari empat pejabat PPIM iaitu dua di Kuala Lumpur dan
masing-masing satu di Kedah dan Kelantan menerima sekurang-kurangnya 30 aduan.
Kebanyakan pengadu terdiri daripada golongan peniaga dan
berpendapatan rendah yang hanya membuat pinjaman RM500. “Walaupun hanya
meminjam RM500, mereka perlu membayar sebanyak 200 peratus yang menjadikan
jumlah sebenar mencecah ribuan ringgit.
“Bagi golongan susah, mereka tidak mampu untuk membayar
hutang itu. Ini menyebabkan along pula berpakat dengan kawan mereka dengan
memperkenalkan peminjam kepada along lain semata-mata mahu membayar hutang
along pertama.
“Terdesak dengan gangguan along, peminjam tidak dapat
berfikir panjang apabila terus membuat pinjaman daripada along lain untuk
membayar hutang berkenaan,” katanya.
Sikap suka meminjam itu menjadikan jumlah pinjaman bertambah
dan kadar bunga yang lebih tinggi dikenakan.
Ada antaranya membuat pinjaman daripada lebih 10 along
sekali gus menyebabkan kehidupan mereka sering berada dalam ketakutan.
Along sanggup melakukan apa saja dengan memburu peminjam di
pejabat dan rumah, malah mengedarkan gambar peminjam di setiap kawasan bagi
memaklumkan kepada along lain supaya turut mengambil tindakan kejam sekiranya
ternampak individu itu.
Menurut Nadzim, taktik terbaru along adalah menghubungi
individu tidak dikenali dan menawarkan pinjaman dalam jumlah sehingga ribuan
ringgit.
“Mereka memberi pinjaman mudah kerana hanya perlu
memberi salinan kad pengenalan dan nombor akaun bank sebelum sejumlah wang
dimasukkan.
“Selepas memasukkan wang itu, along mengenakan beberapa
syarat yang perlu dipatuhi. Pada awalnya dia memberi jumlah pinjaman kecil,
namun melihat kemampuan yang ada pada peminjam mereka akan menawarkan jumlah
lebih besar.
“Bukan itu saja, mereka akan memperkenalkan peminjam
kepada along lain dan memberi nombor akaun sebelum sejumlah wang
dimasukkan,” katanya menambah, along kebiasaannya akan memaksa individu
supaya menerima pinjaman itu.
Ada antaranya tidak mahu meminjam daripada along, tetapi
dipaksa menerima wang itu sebelum sekali lagi dihubungi supaya membayar dalam
jumlah ditetapkan.
Sekiranya tidak mematuhi syarat itu, along menghubungi dan
mengugut mangsa akan menghantar `orang’ untuk mengganggu dan memukul peminjam.
Insiden sedemikian perlu dijauhi kerana ia akan memerangkap
diri seterusnya terbabit dalam hutang along yang tiada berkesudahan.
Walaupun terdesak, masyarakat seharusnya tahu bahaya membuat
pinjaman daripada along kerana adakalanya bukan saja kehidupan tidak selamat
malah boleh membawa maut.
“Saya minta institusi kewangan seperti bank membantu
masyarakat yang mempunyai masalah kewangan dengan memberi pinjaman minimum
kepada mereka.
“Kebanyakan institusi kewangan mengenakan syarat ketat
dan menolak permohonan individu yang mahu membuat pinjaman walaupun dalam
jumlah yang kecil.
“Mereka perlu faham masalah dihadapi masyarakat
terutama yang tinggal di bandar besar yang terpaksa menanggung kos sara hidup
yang tinggi saban hari,” katanya.
Ada juga kalangan peminjam along buntu apabila diburu dan
sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan termasuk membunuh diri dan membuat
kerja tidak sepatutnya.

Katanya, untuk terjebak dengan along memang mudah kerana
mereka menawarkan pinjaman dalam jumlah kecil sebanyak RM500 kepada jumlah
lebih besar walaupun mengetahui individu itu tidak mampu membayar dalam masa
ditetapkan.