Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1015) BERNAMA 30/11/2013-ISU AGAMA ISLAM PERLU JADI INTIPATI PERBINCANGAN PERHIMPUNAN AGONG UMNO – NGO ISLAM
02 Dec 2013

Isu Agama Islam Perlu Jadi Intipati Perbincangan Perhimpunan
Agung Umno – NGO Islam
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Di sebalik inisiatif
meramaikan anggota dan memperjuangkan bangsa Melayu, Umno juga perlu memainkan
peranan lebih aktif berhubung isu keagamaan yang semakin mencabar sekarang.
Meluahkan kegusaran, beberapa badan bukan kerajaan (NGO)
Islam di negara ini meminta pengembalian martabat Islam sebagai agama
persekutuan dijadikan antara intipati utama Umno semasa membincangkan usul
agama secara inklusif pada Perhimpunan Agung Umno 2013 pada 2 hingga 7 Dis ini.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd
Roslan Mohd Noor berkata sebagai sebuah parti utama yang telah 56 tahun
mentadbir negara, Umno perlu memberikan tumpuan kepada aspek itu bagi
memastikan agama persekutuan tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
“Penubuhan Umno sendiri berkait dengan bangsa Melayu
dan Islam…justeru ia haruslah bertepatan dengan fungsinya.
“Umno seharusnya tidak lagi sekadar memikirkan mengenai
bagaimana cara untuk meramaikan anggotanya atau memperjuangkan Melayu
semata-mata…namun penghayatan Islam itu yang perlu diutamakan kerana ia
menjadi tunjang kepada perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama
di sini hari ini.
Jelas Mohd Roslan, Islam bukan sekadar agama untuk
dipraktikkan umatnya semata-mata, namun kecantikan dan keutuhan Islam yang
terpamer akan membawa kepada keharmonian sejagat yang merangkumi pelbagai kaum.
“Perjuangan Umno sebenarnya bukan sekadar untuk
anggotanya tetapi semua rakyat.
“Isu keagamaan, isu sensitif antara masyarakat Islam dan
bukan Islam dan ianya perlu difikirkan dengan serius untuk ditangani dengan
berhemah supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat,”
katanya.
Mohd Roslan berkata sebagai inisiatif, Umno boleh
menghidupkan semula Bulan Dakwah atau Bulan Penghayatan Islam bagi mendidik,
membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara
menyeluruh dan kontemporari.
“Program seumpama itu yang dilihat biasa sebenarnya
mempunyai impak positif yang mungkin boleh menjadi antara medium mengukuhkan
Islam dan membantu masyarakat bukan Islam mengenali keindahan Islam yang
sebenarnya,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata jentera Umno pelbagai
peringkat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meletakkan
semula Islam sebagai tonggak utama.
“Jika Islam tidak dilaksana secara jelas sehingga boleh
diperkotak-katikkan, apa makna ia (Islam) diletak sebagai agama persekutuan?
“Justeru itu kita mahu semua jentera Umno yang ada
sama-sama berusaha mengembalikan Islam di tempat yang sewajarnya agar ia terus
dihormati semua masyarakat,” katanya.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir
Amsaa Alla Pitchay pula berharap isu seumpama penggunaan kalimah Allah dan
Bible versi bahasa Melayu, pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual
(LGBT) yang masih belum berkesudahan mengisi ruang perbincangan mesyuarat Umno
kali ini.
“Selain hala tuju parti, Umno perlu membincangkan
isu-isu penghinaan agama yang berlaku termasuk gejala sosial dan keruntuhan
akhlak.