Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1066) UTUSAN MALAYSIA 28/12/22013 GERAKAN SEMANGAT PENGGUNA
30 Dec 2013

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Rakyat negara ini diseru untuk
menggerakkan semangat kepenggunaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Semangat itu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, lebih bermakna daripada terlibat dengan
perhimpunan haram yang membawa kehancuran kepada negara.
Katanya, permuafakatan semangat antara rakyat dan persatuan
pengguna sebagai sebuah entiti kuasa yang kuat dalam mencorak harga pasaran
penting bagi menjamin untuk tidak menerima kesan daripada peningkatan kos sara
hidup.
Menurutnya, kaedah tersebut sekali gus membendung sebarang
kenaikan harga melampau, penindasan terhadap hak pengguna serta kebarangkalian
muflis.
“Saya juga berharap rakyat melihat perkara ini
(peningkatan kos hidup) sebagai satu cabaran kepada diri untuk mencari
alternatif lain dalam menjana pendapatan sampingan. Inilah seruan bagi kita
untuk bekerja dengan lebih keras dan jangan membantah semata-mata.
“Takkan kita hendak membantah kenaikan harga tol
selama-lamanya? Takkan kita hendak bergantung dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) sahaja? Kita perlu keluar dari kepompong keselesaan dan ‘gigit peluru
yang mendatang’.
“Kita perlu produktif dan tidak boleh duduk sahaja
mengharapkan jasa baik pihak lain, jangan pula pada satu tahap terpaksa
bergantung kepada ah long atau peraduan gores dan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan Isu Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST), Subsidi, Muflis dan Ah Long di Akademi
Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung PPIM, Sheikh Abd. Kareem
S. Khadaied dan bekas individu yang muflis RM84 juta, Radziah Hussein.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, persatuan-persatuan
pengguna sebagai platform memperjuangkan hak kepenggunaan perlu dimanfaatkan
sepenuhnya oleh semua pihak terutama ketika wujud kecenderungan oleh para
peniaga untuk mengeksploitasi harga barang.
Jelas beliau, solidariti rakyat di bawah payung persatuan
pengguna adalah satu kaedah penyelesaian berkesan yang membawa kepada kesedaran
dalam memberi tekanan kepada peniaga untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan
harga.
Dalam masa sama, kata beliau, pihak kerajaan perlu
meningkatkan keberkesanan tadbir urus negara terutama dengan mengurangkan kos
berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasikan subsidi
seperti dinasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“PPIM turut meminta kerajaan meningkatkan gaji pasukan
keselamatan terutama polis, askar dan imigresen yang kita lihat mendapat
sekitar RM1,200 hingga RM1,300 sahaja. Pemberian ini dilihat dapat meningkatkan
moral mereka untuk berkhidmat,” katanya.