Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1067) UTUSAN MALAYSIA 30/12/2013 ANTARA BR1M, BANTUAN BENCANA, KENAIKAN HARGA
30 Dec 2013

TAHUN 2013 sudah mula melabuh tirai dan 2014 bakal menjelma.
Banyak pahit manis sudah dilalui sepanjang tahun ini. Ada yang dapat dijadikan
teladan ada yang perlu dijadikan sempadan. Namun kepada kita rakyat negara ini
masih dikira sangat bertuah sebab banyak mengamalkan sikap bertolak ansur, baik
sesama rakyat sehinggalah ke peringkat kepimpinan negara.
Malahan kita masih boleh tersenyum dan berjabat tangan dalam
apa sahaja keadaan meskipun berlainan pendapat dan berlainan agama. Inilah
indahnya negara tercinta Malaysia.
Namun ini tidak semestinya akan kekal selamanya jika tidak
dipelihara secara saksama dan terurus. Maksudnya, situasi ini bukan wujud
dengan sendiri dan tidak terjamin akan kekal sebegitu. Malah tidak keterlaluan
kalau kita ibaratkan ia seperti pepatah lama, ‘sekali bah sekali pantai
berubah.’
Selepas tamatnya musim berpolitik dan pilihan raya,
nampaknya gelombang besar yang timbul hasil daripadanya masih belum berakhir
dan ia dapat dilihat dengan nyata riaknya yang masih bergolak dan berkocak.
Semua parti komponen Barisan Nasional menerima impak besar
begitu, juga parti lawan pembangkang masih lagi saban hari cuba merapatkan saf
dan memperbaiki strategi termasuk mengadakan rombakan dalaman melalui pelbagai
cara dan upacara.
Namun bagi rakyat biasa yang tidak terlibat secara aktif dan
khusus dalam politik kepartian berlainan pula persepsi mereka. Kalau kita buka
telinga dan mata, komentar di warung kopi dan laman sosial banyak mengupas
komentar golongan ini yang rata-ratanya meluahkan rasa jelik, marah, benci,
geram dan sakit hati terhadap para politikus yang masih lagi rakus kononnya
ingin memberi bakti kepada rakyat jelata.
Namun kesemuanya tidak dapat dibuktikan secara realistik
melalui bentuk tindakan dan diterjemahkan kepada pembaikan perkhidmatan bagi
kehidupan sebenar rakyat yang semakin terhimpit dengan masalah ekonomi keluarga
yang asas, termasuk keperluan tempat tinggal, makan minum, persekolahan, dan
kesihatan.
Meskipun kita diberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
tetapi hakikatnya bantuan sekali setahun itu tidak memberikan sebarang makna
jika dihadiahkan pula dengan pelbagai kenaikan yang berganda-ganda terhadap
barang kepenggunaan.
Bermula dengan gula, minyak nampaknya melarat pula kepada
tambang perkhidmatan bas sekolah kemudian berjangkit kepada tarif elektrik dan
tidak mustahil pula tol, kemudiannya mungkin teksi, bas biasa dan apa sahaja
akan menyusul seolah-olah tanpa noktah.
Kita perlu ingat bahawa dalam teori ekonomi hierarki
kehendak, keperluan utama manusia adalah kehendak asas iaitu makanan, tempat
tinggal, dan pendidikan. Sekiranya perkara asas ini gagal diberikan solusi dan
tidak dapat dipenuhi maka besar kemungkinan negara akan menuju ke arah
kehancuran. Manakan tidak perut yang lapar, otak yang kosong dan tempat tinggal
umpama di kolong tentu menyebabkan rakyat lebih terdorong menjadi ‘polong.’
Kemudian negara dikejutkan dengan bencana di luar jangka
banjir besar pula melanda. Katanya lebih buruk daripada bah besar puluhan tahun
lalu. Malahan terburuk sehingga di luar jangkaan sehingga pusat penempatan
banjir yang selama ini tidak dilimpahi air bukan setakat menerima impak biasa, malah
sesetengahnya tidak dapat beroperasi kerana ditenggelami air.
Tentunya kerugian bukan sekadar wang ringgit tetapi
melibatkan harta benda dan punca pendapatan juga turut terjejas. Bayangkanlah
nasib para petani dan nelayan, para penternak dan peniaga biasa yang sudah
tentu tidak mampu untuk bangun serta-merta untuk membina kembali kehidupan
baru.
Kedatangan tahun baharu bermakna perbelanjaan luar jangka
turut bertambah termasuk keperluan persekolahan anak-anak. Kepada mereka yang
bergelar jutawan tidak ada apa yang perlu dirisaukan, tetapi kepada rakyat di
pedalaman yang kini bukan sahaja menjadi miskin dan papa kedana akibat banjir
dan bencana yang melanda tetapi turut hilang punca pendapatan.
Kemudian harga barang dan perkhidmatan pula dinaikkan.
Meskipun banyak pejuang NGO yang prokerajaan cuba untuk merasionalkan
tindakan-tindakan drastik memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST),
menaikan harga gula, petrol dan sebagainya tetapi sampai bila mereka berupaya
menyokong pagar-pagar yang menjadi duri kepada keputusan tidak bijak dan tidak
kena pada masanya ini terus berlaku.
Umpama harimau jinak tetapi dibiarkan kelaparan dan selalu
dipermainkan dan ditarik ekornya tentulah ia akan latah. Apabila latah tentu
rasional tidak lagi menjadi pertimbangan kerana ia satu tindakan yang berlaku
di luar kotak jangkaan dan jangkauan biasa. Malah jika ia berlaku kerosakan
yang bakal menimpa sukar untuk diperbaiki lagi.
Selain daripada itu, nampaknya maklum balas terhadap bencana
di negara kita masih ditakuk lama. Operasi bantuan dan pengagihan turut tidak
mencapai standard yang sepatutnya. Malah budaya sudah terhantuk baru tengadah
nampaknya masih terpakai, menggambarkan gerak kerja berkaitan dengannya. Sebut
sahaja bencana, itu juga yang terpampang di hadapan mata.
Walhal, banjir dan pelbagai tragedi lain bukan kali pertama
dan sudah tentu strategi menangani dan mengurangkan impaknya sepatutnya sudah
ada dan siap siaga pada sebarang masa dan ketika. Tidak timbul lagi rayuan di
sini sana, tidak cukup pelbagai perkara.
Majlis Keselamatan Negara tentu sudah cukup tenaga kerja dan
terjamin tahap profesionalisme dalam menerima amanah mereka. Tetapi nampaknya
seperti ada yang kurang, baiklah kaji semula peranannya secara sama rata agar
tidak calar lagi imej kepada warga rakyat jelata.
Kita khuatir segala apa yang berlaku di tahun 2013 ini
menjadi rentetan pilu dan bakal menimbul keluh kesah yang berpanjangan pada
tahun 2014 yang bakal mendatang.
Kerisauan juga seperti berasas apabila BR1M yang diberikan
menimbulkan impak negatif yang dijadikan modal oleh musuh pemerintah yang
mengaitkannya dengan umpan kepada kenaikan harga yang berterusan.

Ramai yang berpendapat biarlah BR1M tidak diberi asalkan
harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan. Malah biar bonus tidak diberi
dan gaji tidak dinaikkan asal harga rumah masih kekal di takuk lama. Itu hanya
sebahagian daripada keluhan.