Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1069) UTUSAN MALAYSIA 30/12/2013 HARGA : TUBUH BADAN PEMANTAU
30 Dec 2013

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Kerajaan digesa mewujudkan satu badan
pemantau bagi mengawal tindakan sesetengah pihak yang seakan-akan ‘berpesta’
menaikkan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan rakyat tidak
terus runsing, takut dan keliru dengan kenaikan kos sara hidup terutama bagi
yang tinggal di bandar besar.
“Kerajaan kena lihat untuk kesejahteraan rakyat.
Pihak-pihak berkaitan yang sesuka hati menaikkan harga itu perlu diberi
pengajaran, diambil tindakan agar mereka takut. Ini kerana kita lihat ada pihak
yang menaikkan harga tanpa sebab pun,” katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad yang menasihatkan kerajaan menggunakan pendekatan
mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha
merasionalisasikan subsidi.
Menurut Dr. Mahathir, meskipun menyedari bahawa kerajaan
memerlukan sumber kewangan yang besar untuk menguruskan negara, beberapa
langkah penjimatan bagi mengurangkan kos boleh dilaksanakan untuk tujuan sama.
Nadzim berkata, saranan Dr. Mahathir itu wajar diberi
perhatian serius dalam usaha memastikan rakyat terus mengingati dan menyokong
kerajaan sedia ada.
“Kerajaan kena buat penyelarasan dalam soal
perbelanjaan. Mungkin rakyat boleh terima kenaikan tetapi kerajaan kena ambil
langkah atasi segala pembaziran dan ketirisan di dalam pentadbiran.
“Saya takut segala kenaikan kos ini akan memberi mesej
tidak cantik kepada rakyat tambahan pula kita baru melepasi Pilihan Raya Umum
Ke-13. Sebelum pilihan raya, janji tidak naik, tetapi selepas pilihan raya,
berlaku sebaliknya,” katanya.
Sebagai contoh katanya, kenaikan kadar tol lebuh raya tidak
perlu berlaku pada masa kebanyakan perkara lain juga bakal menghadapi kenaikan
harga.
“Kerajaan nampaknya perlu tegas menangani kenaikan kos
ini dengan bertindak terhadap sesiapa yang mengambil kesempatan dalam soal
menaikkan harga. Hari ini kita tengok peniaga tidak takut, mereka menaikkan
harga sesuka hati tetapi apabila dihukum, ia tidak setimpal. Kerajaan perlu
melakukan tindakan yang dihormati,” katanya.

Jelas beliau, nasihat Dr. Mahathir yang telah memimpin
negara lebih dua dekad itu wajar dijadikan panduan agar kerajaan boleh terus
memahami keperluan dan keperitan rakyat selain menjamin kesejahteraan mereka
melalui pengurusan ekonomi negara yang lebih bijak.