Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1070) UTUSAN MALAYSIA 30/12/2013 Guling Kerajaan: Persatuan teksi, PPIM mahu polis bertegas
30 Dec 2013

KUALA LUMPUR 30 Dis – Himpunan Guling Kerajaan anjuran
kumpulan pro-pembangkang yang dijadual berlangsung menjelang ambang Tahun
Baharu 2014 pada 31 Disember nanti terus mendapat tentangan keras.
Terbaharu, Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung
Malaysia (Gubungan) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini
membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendesak agar
polis mengambil tindakan keras terhadap kumpulan terbabit yang didakwa mampu
menjejaskan keamanan dan ekonomi negara.
Timbalan Presiden Gabungan, Datuk Mohd. Alias Abdul berkata,
perhimpunan haram itu dikhuatiri menjejaskan mata pencarian lebih 25,000
pemandu teksi di Lembah Kelang.
“Bantahan dan protes ini adalah kerana himpunan haram
akan menyebabkan lalu lintas tersekat dan mengakibatkan huru hara sekaligus
menjejaskan perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur.
“Himpunan ini akan menyebabkan para pemandu teksi
enggan ke tempat terbabit menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas,”
tegas Mohd. Alias.
Beliau berkata, himpunan itu yang diadakan serentak dengan
kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh menjejaskan imej negara di mata
pelancong asing.
“Tindakan mereka pastinya menjejaskan imej negara. Kita
sayangkan negara kita, kita mahukan keamanan dan kita benci tindakan ganas
seperti ini,” jelas Mohd. Alias.
Sementara itu, Aktivis Pengguna PPIM, Mohd. Mustafa Hamzah
berkata, sejarah perhimpunan haram yang dilakukan oleh kumpulan yang sama
menunjukkan ia tidak pernah berakhir dengan aman.
“Pelbagai kekecohan berlaku setiap kali perhimpunan
haram berlangsung. Peniaga-peniaga kecil terjejas.
“Penganjur perhimpunan haram ini sepatutnya memikirkan
hak-hak asasi kumpulan yang terjejas akibat tindakan mereka,” tegas Mohd.
Mustafa.
Kedua-dua NGO terbabit mengesa agar penganjur menggunakan
sistem demokrasi melalui pilihan raya dalam meraih kuasa dan bukannya
mengunakan demonstrasi haram untuk mengulingkan kerajaan sedia ada. – UTUSAN
ONLINE.