Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1121) BERITA MINGGUAN 19/1/2014 KESELAMATAN PENGHUNI TERABAI
20 Jan 2014

Headline: Keselamatan penghuni terabai
Publication: BM
Date of publication: Jan 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias; Sarah Sulaiman
Kuala Lumpur: Kebanyakan flet, rumah pangsa dan pangsapuri
kos sederhana di negara ini disifatkan sebagai perangkap maut kerana aspek
keselamatan bangunan dan penghuninya terabai.
Kemudahan disediakan juga dalam keadaan daif tanpa
penyelenggaraan menyebabkan mutu hidup penghuni bangunan tinggi terjejas.
Malah, hampir semua bangunan itu juga tidak memiliki Sijil
Perakuan Bomba (FC) yang mendedahkan penghuninya kepada bahaya kebakaran.
Tinjauan BH di rumah pangsa Kerinchi, Kampung Baru, Pantai
Baru dan Bandar Baru Sentul di sini, mendapati ada antara struktur bangunannya
sudah retak, tangga besi berkarat dan berlubang, lif tidak diselenggara, paras
balkoni rendah dan laluan bomba sempit, peralatan bomba rosak, manakala
tangganya tiada pemegang.
Tangki air utama bangunan juga sering bocor atau berkarat
menyebabkan bekalan air untuk penduduk sering terputus dan kualiti air,
meragukan.
Ada bangunan yang paip air najisnya bocor menembusi siling
rumah, tangga kecemasan menjadi lokasi melonggok sampah, lampu koridor tidak
berfungsi, tiada pili bomba jika berlaku kebakaran dan kawasan koridor menakung
air ketika hujan serta menjadi pusat pembiakan nyamuk nyamuk aedes.
Isu keselamatan
Persoalannya, adakah penghuninya selamat jika berlaku
kebakaran di aras tinggi?
Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan 1984, bangunan
ketinggian lebih 18 meter mesti mempunyai dinding pemetakan (compartment wall)
di antara satu unit dengan unit lain bagi menghalang api merebak jika berlaku
kebakaran.
Ia juga menetapkan, lebar tangga sepatutnya 1.1 meter, perlu
ada sistem pemadam api automatik, sistem pancur basah, sistem pemercik, sistem
pengesan asap serta api, lif dan tangga kecemasan.
Bagaimanapun, kajian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
mendapati hampir semua bangunan kediaman kos rendah di negara ini tidak
mematuhi peraturan itu.
Keadaan ini amat berbeza di pangsapuri atau kondominium
mewah yang dilengkapi semua ciri keselamatan serta kecemasan bomba dan memiliki
FC.
Perlukan pembelaan
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Dr Maamor Osman, berkata penghuni flet dan rumah pangsa memerlukan
pembelaan.
Katanya, penduduk pangsapuri terpaksa melalui kehidupan
seharian dengan penuh kebimbangan kerana kediaman mereka menghadapi pelbagai
masalah berkaitan keselamatan, termasuk dari segi struktur bangunan mahupun
kemudahannya.
“Rumah kos rendah ini ibarat perangkap maut. Sekiranya
berlaku kebakaran, pangsapuri tidak mempunyai alat kecemasan bomba yang
diselenggara secara berkala pasti akan menyukarkan kerja memadam api.
“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu badan khas
untuk memantau aspek keselamatan dan keperluan penghuni bangunan tinggi,”
katanya kepada BH.
Bomba akui risiko
Malah, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM), Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, mengakui flet dan pangsapuri kos rendah
yang lama boleh menjadi perangkap maut jika tidak diselenggara dengan baik.
“Risikonya menjadi lebih besar jika tiada dinding
pemetakan atau dilengkapi alat kecemasan bomba yang sepatutnya kerana struktur
bangunan selamat didiami perlu mematuhi piawaian ditetapkan undang-undang
seperti memiliki FC,” katanya.
Bergadai nyawa guna `kotak maut’
Kuala Lumpur: “Setiap hari kami bergadai nyawa kerana
tinggal di kediaman tinggi kerana semua peralatan dan kelengkapan keselamatan
sudah tidak berfungsi,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seksyen 8 Kota
Damansara, Johari Nander.
Johari, 46, berkata penghuni di semua empat blok 18 tingkat
PPR itu juga tertekan kerana hanya satu lif berfungsi.
Keluhan penduduk
Katanya, lif di PPR itu umpama `kotak maut’ dengan lampunya
tidak berfungsi, berhenti di setiap tingkat dan bergerak sepanjang masa
walaupun tidak digunakan.
“Masalah besi penghadang tangga tidak diganti turut
mengancam keselamatan penghuni terutama kanak-kanak dan warga tua jika terpaksa
menggunakan tangga,” katanya.
Tinjauan BH di PPR itu mendapati semua peralatan bomba
rosak, termasuk hosnya tidak dapat digunakan kerana dijadikan tempat simpanan
barang, manakala penyembur kering hilang.
Keluhan sama disuarakan penduduk di Blok B PPR itu, R
Vigneswaran, 35, yang menceritakan kejadian menimpa seorang warga tua yang
patah kaki selepas terjatuh ketika menggunakan tangga yang tiada pemegang pada
2009 dan kes kanak-kanak lelaki empat tahun maut terjatuh di balkoni berikutan
besi penghadangnya reput.
Tangga kecemasan reput
Penghuni Blok B, Pangsapuri PKNS, Kampung Baru, Mohd Akmal
Abu Bakar, 17, berkata keadaan tangga kecemasan yang reput tidak selamat
digunakan jika berlaku kebakaran, namun tiada usaha membaik pulih diambil
pemilik bangunan 17 tingkat itu.
“Pangsapuri ini sudah lebih 20 tahun dibina, tiada lif
bomba, paras balkoni juga rendah dan dibimbangi penghuni boleh terjatuh jika
tidak berhati-hati.
“Nyawa kami seperti di hujung tanduk,” katanya.
Penghuni PPR Seri Sarawak di Jalan Ipoh, Ariffin Ramlee, 22,
berkata lif di bangunan 16 tingkat itu sering rosak dan tidak diselenggara
walaupun setiap unit rumah diwajibkan membayar RM94 sebulan untuk kos
penyelenggaraan.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan
berkala di semua flet dan rumah pangsa supaya kemudahan asas dan kualiti hidup
mereka dapat dipertingkatkan supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik dan
tempat tinggal mereka tidak menjadi perangkap maut.
Kualiti lif undang padah
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan Kementerian Sumber Manusia, Mohtar Musri, berkata lapan kes
kemalangan lif dilaporkan berlaku, tahun lalu, membabitkan dua kematian di
pangsapuri kos rendah, selain 13 kemalangan lif dan satu kes maut di kilang
pada 2012.
“Kebanyakan kes kemalangan lif membabitkan penghuni
pangsapuri. Lif tidak berfungsi dengan baik dan rosak berikutan masalah
penyelenggaraan selain kualiti lif rendah.
Kualiti lif rendah

“Situasi ini berbeza dengan kediaman mewah jenis
kondominium, pangsapuri dan rumah bandar yang dilengkapi lif berkualiti dan
diselenggara baik setiap bulan,” katanya. Info Kemalangan lif 18 Julai
2013: Kanak-kanak 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok
di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa
Tun Razak, Kuala Lumpur. 17 Februari 2013: Isteri anggota TLDM maut selepas lif
dinaikinya terhempas apabila kabelnya putus di tingkat lima di Pangkalan TLDM
Lumut, Perak. 8 April 2013: Warga Indonesia maut selepas tersangkut dalam lif,
sebelum mayatnya ditemui di dalam lubang penyelenggaraan lif di Pangsapuri BJ
Court, Bukit Jambul, Pulau Pinang. 7 November 2011: Pelayan restoran makanan
Cina di Kota Kinabalu, maut apabila lehernya hampir putus akibat tersepit di
pintu lif di restoran tempat dia bekerja. Kemalangan tangga * 13 Oktober 2013:
Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut selepas terjatuh dari tangga tingkat dua
rumahnya di Bukit Belimbing, Kajang. * 10 Mac 2013: Kanak-kanak perempuan empat
tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima Perumahan Anggota Penjara Kluang,
Johor. * 19 Disember 2006: Remaja 15 tahun maut selepas koma selama satu bulan
selepas tergelincir ketika turun tangga rumahnya di Green Valley Park, Bandar
Tasik Puteri, Rawang. Kemalangan balkoni * 13 Oktober 2004: Kanak-kanak perempuan
tiga tahun mati selepas terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Kuala
Lumpur. * 8 September 2004: Kanak-kanak enam tahun maut selepas terjatuh dari
tingkat empat Flet Bijangga, Dungun, Kuala Terengganu. * 8 Ogos 2002:
Kanak-kanak berumur tiga tahun mati selepas terjatuh dari balkoni di tingkat
sembilan Pangsapuri Sri Panglima A, Bukit Saujana, Johor Baharu, Johor. * 9
Ogos 2001: Kanak-kanak tiga tahun maut selepas jatuh dari tingkat 18, Kinta
Heights, Ipoh, Perak. Kemalangan tingkap * 22 Mei 2010: Bayi lelaki sembilan
bulan maut terjatuh menerusi tingkap bilik tidur di tingkat tiga kuarters
pendidikan di USJ 6, Subang Jaya. * Mei 2008: Kanak-kanak lelaki lima tahun
cedera parah setelah terjatuh dari tingkap ruang tamu rumahnya di tingkat tujuh
Pangsapuri Subang Suria, Subang Jaya. * April 2008: Kanak-kanak empat tahun
maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di Blok 5 Pangsapuri Subang Suria,
Subang Jaya. * 10 Disember 2001: Anak bongsu Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim maut selepas terjatuh menerusi tingkap
bilik di tingkat 31, Kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur.