Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1122) UTUSAN MALAYSIA 18/1/2014 SEGERA BERTINDAK BENDUNG MANIPULASI HARGA BARANG
20 Jan 2014

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Kerajaan tidak boleh lagi memberi
ruang kepada pemborong, pembekal dan peniaga yang mengambil kesempatan
menaikkan harga barang supaya rakyat tidak terus berasa runsing atau bimbang
dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, Akta Kawalan Harga, Antipencatutan 2011 dan Akta
Persaingan 2010 mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengawal tindakan sesetengah
pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan perlu mengerakkan
jenteranya untuk memberi penjelasan secara mudah kepada rakyat mengenai
kenaikan harga barang bagi mengelakkan mereka terkeliru dengan situasi yang
berlaku.
“Sekarang seolah-olah ada pakatan terancang antara
beberapa pihak yang berani menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah dan
boleh menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada kerajaan. Ini bermakna
tindakan kerajaan kurang menyengat sehingga situasi ini berlarutan.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya kumpulan ini takut
dan mendapat pengajaran selain rakyat perlu disedarkan menerusi penjelasan
berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Nadzim, isu kenaikan harga barang boleh menjejaskan
imej kerajaan jika tidak ditangani dengan cepat dan betul kerana ia boleh
menimbulkan kemarahan rakyat.
Beliau turut mempersoalkan sikap tidak bertanggungjawab
sesetengah peniaga menaikkan harga tanpa sebab yang seolah-olah mempunyai
agenda tersembunyi di sebalik tindakan tersebut.
“Sebagai contoh dalam isu kenaikan kadar tol, kerajaan
belum laksanakan tetapi ada peniaga yang menjadikannya alasan untuk menaikkan
harga barang.

“Ini secara tidak langsung menampakkan kenaikan harga
berlaku kerana keputusan kerajaan,” katanya.