Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1137) HARIAN METRO 5/1/2014 JEJAS IMEJ SIJIL HALAL
05 Feb 2014

Headline: Jejas imej sijil halal
Publication: HM
Date of publication: Feb 5, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: Oleh Rizanizam Abdul Hamid
Kuala Lumpur: Sebuah syarikat pengeluar mi yang mendapat
pengiktirafan halal oleh pihak berkuasa dikesan mempromosikan menu daging babi
untuk menyedapkan lagi masakan bahan mentah keluarannya.
Melalui laman webnya, syarikat berkenaan turut memuat naik
sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tetapi di bawah
logo halal itu dipromosikan mi kuning keluarannya sesuai digunakan untuk
memasak mi Hokien dan digoreng bersama empingan daging babi.
Pemerhatian Harian Metro mendapati, penerangan itu juga
menyebut penggunaan kulit babi bertujuan menjadikan mi yang dihidangkan
bertambah lazat dan menyelerakan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk
Nadzim Johan berkata, JAKIM perlu memandang serius perkara itu kerana telah
menjejaskan imejnya selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap
pengeluaran sijil halal.
“Mana boleh dicampurkan produk halal dengan cadangan
hidangan tidak halal, seolah-olah syarikat berkenaan tidak faham maksud halal
dan lebih teruk logo halal JAKIM turut dipampang bersama-sama.
“Ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kami berharap
JAKIM mewujudkan syarat baru permohonan sijil halal yang bukan hanya dilihat
pada logo dan produk sahaja, tetapi merangkumi etika supaya makna halal itu
lebih dihormati,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, cara yang dipaparkan laman web syarikat
berkenaan boleh disamakan seperti syarikat perbankan Islam yang menggunakan
perunding jualan wanita memakai skirt pendek ketika berurusan dengan pelanggan.
“Kalau jual produk berasaskan Islam, mestilah seseorang
itu menjaga adab pakaiannya seperti Islam, begitu juga dengan jualan makanan.
Macam mana ada logo halal tapi promosi babi dalam masakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha
ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengeluarkan sepucuk surat terhadap
syarikat berkenaan hari ini (semalam) untuk diadakan pertemuan dalam masa
terdekat.
“Dalam surat itu, kita minta perjumpaan bagi mereka
menjelaskan sebab mengapa bertindak demikian yang telah mencetuskan sensitiviti
umat Islam di seluruh negara.

“Pada masa sama, JAKIM meminta syarikat itu
mengeluarkan permohonan maaf kepada masyarakat umum supaya menjadi pengajaran
dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan,” katanya