Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1171) UTUSAN MALAYSIA 22/2/2014 HARGA NASKHAH AL-QURAN NAIK 50 PERATUS?
25 Feb 2014

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Ketika rakyat merasai pelbagai
kenaikan harga barangan, masyarakat Islam pula dijangka dibebani dengan
kenaikan harga kitab al-Quran sehingga 50 peratus jika kerajaan meneruskan
penguatkuasaan pelekat hologram mulai 1 Mac ini.
Presiden penaja Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM),
Sabariah Abdullah berkata, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan kerana para
penerbit diwajibkan oleh kerajaan membeli hologram dengan harga RM1 bagi setiap
naskhah.
“Harga senaskhah al-Quran adalah daripada RM10 hingga
RM300 tetapi naskhah paling banyak dijual adalah yang berharga RM10.
“Apabila penguatkuasaan pelekat hologram dijalankan
oleh kerajaan maka harga RM10 senaskhah akan naik pada harga sekitar RM16
kerana peningkatan kos,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Bendahari Persatuan Gabungan NGO Islam
(Accin), Mukram Mohd. Taib.
Sabariah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 2011
mengarahkan penerbit agar setiap naskhah kitab suci itu dilekat hologram yang
dijual dengan harga RM1 melalui Bahagian Teks al-Quran KDN.
Menurutnya, bermula 1 Mac ini pula, KDN akan menjalankan
penguatkuasaan dengan mengenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga
tahun ke atas penerbit atau pekedai yang didapati menjual al-Quran tanpa
pelekat hologram.
Sehubungan itu, beliau berkata, PQM menggesa kerajaan
memansuhkan penguatkuasaan tersebut kerana peraturan itu didapati membebankan
penerbit dan pengguna.
Menurutnya, kos yang meningkat adalah bagi menampung
pembelian pelekat hologram, kos tambahan tenaga pekerja untuk melekatkan
hologram selain pembaziran masa.
Katanya, pelekat hologram itu juga tidak dapat menjamin
ketulenan al-Quran kerana kitab suci itu masih boleh dicetak rompak.
Menurut Sabariah, tidak mustahil sebahagian daripada 100
syarikat penerbitan al-Quran di negara ini berisiko untuk gulung tikar akibat
kenaikan kos berkenaan.
“Penerbit mencetak 5,000 hingga 20,000 setiap cetakan,
ini bermakna penerbit harus menyediakan wang tunai sehingga RM20,000 untuk
membeli hologram sebelum al-Quran dapat dicetak maka ini sangat membebankan
penerbit kecil,” katanya sambil menambah 100 penerbit al-Quran yang
mempunyai lesen itu menerbitkan 500,000 naskhah setahun.
Beliau berkata, sepatutnya KDN mempermudahkan penerbitan
al-Quran bagi menggalakkan penyebaran kitab suci tersebut dan bukannya
mengenakan peraturan tidak wajar yang menyusahkan penerbitannya.
Katanya, PQM mencadangkan agar KDN mengekalkan sistem cop
Perakuan Betul Huruf Pruf Akhir Teks al-Quran yang digunakan selama ini dan
memberikan dana bantuan kepada para penerbit.
Menurutnya, kaedah tersebut terbukti berkesan manakala
pelekat hologram adalah satu kaedah yang tidak pernah dilakukan oleh negara
lain termasuk Arab Saudi, Jordan dan Mesir.
Sabariah berkata, PQM juga berharap dapat menemui Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secepat mungkin bagi
membincangkan masalah berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Pustaka Darul Iman, Mohd. Fadzil
Saleh berkata, jualan naskhah al-Quran menurun antara 30 hingga 50 peratus
sejak tahun lalu kerana kitab di kedainya tiada dilekat hologram.

Penerbit lain, Abdul Khaliq Abdul Malik daripada Percetakan
Dar Hakamah pula memberitahu, sebanyak 2,500 naskhah al-Quran terpaksa
dipulangkan oleh pekedai kerana tidak dapat dijual berikutan ketiadaan pelekat
berkenaan.