Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1185) UTUSAN MALAYSIA 6/3/2014 PENDIDIK, IBU BAPA, NGO SOKONG PENDEKATAN LEBIH MESRA GURU PBS BAHARU
08 Mar 2014

KUALA LUMPUR 5 Mac – Warga pendidik, ibu bapa dan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pendekatan lebih mesra guru dalam sistem
baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan diumumkan hujung bulan
ini.
Mereka menyifatkan sistem yang akan berfokuskan pengajaran
itu sebagai pemangkin sistem pendidikan negara yang baik selain menjadikan
suasana pembelajaran dan pengajaran lebih sihat.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP), Lok Yim Pheng berkata, kesediaan kerajaan menambah baik dasar tersebut
meliputi psikometrik pelajar, perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual
dan sosial adalah satu perkembangan sangat positif.
Kata beliau, pihaknya gembira kerana Kementerian Pendidikan
memberi jaminan bahawa sistem baharu itu akan memberi lebih banyak masa kepada
guru untuk mengajar di samping mengimbangi elemen peperiksaan serta komponen
lain.
Walau bagaimanapun katanya, pihaknya amat berharap sistem
baharu PBS itu tidak mengulangi masalah sebelum ini terutama melibatkan
E-sistem yang jelas membebankan golongan pendidik.
“Guru mula mengalami bebanan dan tekanan akibat PBS
kerana masalah E-sistem dan tugas perkeranian dalam kalangan guru.
“NUTP telah mengumpulkan maklumat mengenai rintihan guru
dan menyerahkan memorandum mengenai Sistem PBS kepada Kementerian Pendidikan
berkaitan masalah serius yang dihadapi oleh mereka untuk memasukkan data ke
dalam E-sistem,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Semalam, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh
berkata, kerajaan memberi jaminan sistem baharu PBS akan lebih mesra guru dan
berfokuskan pengajaran berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan
pada 29 Mac ini selepas siap dikemaskini turut memberi lebih banyak masa kepada
guru untuk mengajar.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berharap
penambahbaikan PBS itu mengambil kira pelbagai faktor yang menguntungkan semua
pihak berkepentingan.
Jelasnya, PIBGN akan terus memantau penerimaan PBS dalam
kalangan guru dan perkembangan akademik para pelajar.
“Saya juga ingin mencadangkan penubuhan satu pasukan
yang membuat pemantauan PBS dari daerah ke negeri dan seluruh negara supaya
mutu pelajaran terjamin. Ahli pasukan itu perlu terdedah dengan PBS yang
diamalkan di luar negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengucapkan penghargaan terhadap
keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu
berkenaan.

“PPIM menyokong penuh usaha mencari jalan penyelesaian
terbaik dan mengharap kementerian dapat menjemput jawatankuasa Suara Guru
Masyarakat Malaysia (SGMM) untuk berbincang secara hati ke hati bagi meleraikan
sebarang kekusutan yang ada,” katanya.