Namun, Hui Sen dikatakan tidak sampai hati untuk mendapatkan rumah tersebut selepas bersimpati dengan kehidupan penghuni rumah itu sekeluarga dan membatalkan hasratnya namun tidak mahu mengambil balik wang pendahuluan yang sudah dibayar.

Rumah beliau yang masih dihuni bersama suami dan anak-anak sepatutnya menjalani proses lelongan buat kali kelima Selasa lalu, selepas Hui Sen menarik diri daripada membeli rumah tersebut tiga bulan lepas.

Hanya mahu dikenali sebagai Nor, wanita berusia 43 tahun itu yang tampil dalam sidang akhbar yang dikendalikan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara hari ini, berkata, proses lelongan itu dibatalkan sehari sebelum tarikh lelongan selepas PPIM melakukan perbincangan dengan pihak bank termasuk menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM44,500.

Menurut Nor, walaupun pihak bank memberi reaksi positif dalam perbincangan berkenaan termasuk untuk menghentikan proses lelongan dan menarik balik status bankrap beliau dan suami, namun dia masih belum boleh menarik nafas lega.

“Terima kasih kepada PPIM. Sudah masuk tahun ketiga saya berjuang akhirnya pihak bank sudi mendengar dan menjanjikan sesuatu. Untuk setakat ini saya boleh senyum sedikit tetapi saya masih menantikan apa tindakan selanjutnya dan dimaktubkan dalam dokumen hitam putih.

“Sebab apa saya melawan sehingga hari ini kerana saya rasa ditipu hidup-hidup. Lepas satu-satu janji dilakukan sejak lelongan pertama pada tahun 2014,” kata Nor yang menitiskan air mata ketika menceritakan keperitan hidup mereka sekeluarga selepas dia dan suami diisytiharkan bankrap dan rumah mereka dilelong kerana tidak berjaya melangsaikan hutang bank.