Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1848) 9 APRIL 2014 UTUSAN ONLINE – BUMIPUTRA TERPINGGIR DI BANDAR
11 Apr 2014

KUALA LUMPUR 9 April – Keputusan kerajaan negeri Selangor memansuhkan tujuh peratus diskaun yang diberi kepada bumiputera untuk pembelian kediaman mampu milik akan mengakibatkan golongan berkenaan terpinggir daripada menjadi pemastautin tetap di kawasan bandar.
Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, ini kerana, tindakan terbabit menyukarkan mereka memiliki sebuah rumah berbanding kaum lain.
“Orang Melayu atau bumiputera secara purata berada dalam lingkungan ekonomi yang jauh lebih rendah berbanding bangsa yang lain dan tindakan tersebut jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak adil kepada mereka.
“Maka, mereka terkesan dengan kehilangan keistimewaan itu dan akan menetap di kawasan luar bandar kerana di sana lebih murah berbanding bandar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri, Iskandar Abdul Samad dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam bahawa kerajaan negeri tidak lagi memberi diskaun lima hingga tujuh peratus kepada golongan bumiputera untuk pembelian perumahan mampu milik di bawah Skim Rumah Selangorku.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan negeri seharusnya meneliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana tindakan tersebut akan membebankan golongan bumiputera untuk membeli kediaman sendiri.
Malah, katanya, keputusan itu akan mencerminkan kredibiliti kerajaan negeri terhadap keprihatinan kepada bumiputera, sekali gus menjatuhkan maruah mereka.
“Tindakan ini petanda awal kepada kerencatan taraf bumiputera apabila keistimewaannya dinafikan. Di mana hak mereka selepas ini ?
“Kemungkinan satu hari nanti lebih banyak keistimewaan bumiputera akan ditarik, kemudiannya Pulau Pinang ikut jejak langkah mereka. Ini yang kita khuatir,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140410/dn_21/Bumiputera-terpinggir-di-bandar#ixzz2yY9YvmgF
© Utusan Melayu (M) Bhd