Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1875) HARIAN METRO 26/04/2014 – SELESAI MASALAH LEBIH CEPAT
29 Apr 2014

Headline: Selesai masalah lebih cepat
Publication: HM
Date of publication: Apr 26, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 052
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Selesai masalah dalam tempoh singkat. Itu komitmen Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO menerusi portal For The Rakyat dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi rakyat secara atas talian.

Dengan adanya platform berkenaan, orang ramai kini tidak perlu lagi hadir ke kaunter biro berkenaan untuk menyalurkan apa juga aduan, selain setiap masalah akan diundi pelayar Internet lain bagi mendapatkan maklum balas segera agensi berkaitan.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, sejak pra pelancarannya 3 Mac lalu, pengadu boleh menyatakan masalah, melihat status masalah serta maklum balas jabatan atau agensi kerajaan berkaitan dengan hanya melayari serta mendaftar sebagai pengguna portal terbabit.

“Semua aduan yang diterima terus dipanjangkan kepada agensi berkaitan dan setakat ini kita mendapat kerjasama baik daripada agensi kerajaan.

“Kita tidak ada tempoh untuk sesuatu aduan itu diselesaikan, bergantung kepada keadaan. Tetapi kita beri jaminan, ia akan dilakukan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran portal berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada majlis itu, Najib yang juga Presiden UMNO diberikan penerangan mengenai gerak kerja portal berkenaan memproses aduan daripada orang ramai dan terus dihantar kepada agensi yang sesuai dengan masalah dirujuk biro.

Beliau juga sempat melihat bagaimana sesuatu aduan diundi dan diberikan komen pelayar Internet lain secara crowdsourcing yang berkemungkinan mempunyai pengalaman masalah sama.

Setakat semalam, 86 aduan berkaitan pelbagai masalah seperti kepenggunaan, bencana alam, ekonomi serta sara hidup serta kewangan pendidikan dan pelaburan.

Ia ditangani bersama antara Biro Aduan Komuniti, Yayasan Sukarelawan Siswa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Pertubuhan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) dan Yayasan Salam Malaysia.