Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1976) BERITA HARIAN 31/05/2014 – Cadbury yakinkan pengguna coklat halal
02 Jun 2014

Headline: Cadbury yakinkan pengguna coklat halal
Publication: BH
Date of publication: May 31, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 012

Kuala Lumpur: Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd meyakinkan pengguna bahawa produk keluarannya halal walaupun mereka secara proaktif dan sukarela sudah menarik balik dua coklat yang disahkan mengandungi DNA babi (procine) keluaran syarikat ini.

Ketua Hal Ehwal Korporatnya, Raja Zalina Raja Safran, berkata pihaknya tetap dengan pensijilan mereka dan menegaskan mempunyai pelabelan mengikut piawaian tahap tertinggi.

“Cadbury Malaysia memberi jaminan bahawa kita memberi tumpuan untuk menyelesaikan kebimbangan yang membawa kepada penarikan semula dua produk di pasaran tempatan.

“Kami tetap berpendirian teguh terhadap sijil halal kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Sampel coklat

Pada Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA babi iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel 175 gram, bernombor kelompok 200813M01H I2 yang tarikh luput 13 November 2014, dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam nombor kelompok 221013N01RI1 serta bertarikh luput 15 Januari 2015.

Raja Zalina berkata, pihaknya kini memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kes ini dan akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan serta pemimpin Islam bagi meyakinkan pengguna sementara menunggu hasil analisis terhadap dua produk yang dikesan mengandungi DNA babi.

Beliau turut meminta pengguna berpegang kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa produk syarikat itu yang tercemar dengan DNA babi kekal dengan status halal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi berkata, beliau meminta kes ini dikaji dengan lebih teliti.

Pengguna bukan bodoh

Beliau mempertikaikan bagaimana keputusan mengatakan produk yang disahkan dicemari dengan DNA babi menjadi halal dalam tempoh singkat.

“Perkara seperti ini hanya akan membuatkan Malaysia ditertawakan sebagai hab halal. Perlu diingat, pengguna kini bukan lagi bodoh dan mereka akan mendapat semua maklumat dengan mudah menerusi laman media sosial,” katanya sambil menambah PPIM akan mengadakan pertemuan dengan peguam dalam masa terdekat bagi mengambil langkah seterusnya.