Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2070) UTUSAN 28/7/2014- OIC perlu ambil tindakan tegas – PPIM
04 Aug 2014



OIC perlu ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR 27 Julai – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) didesak agar mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, OIC juga perlu duduk semeja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik tersebut bersama-sama.
“Berilah peluang kepada penduduk Gaza untuk menghirup udara segar dan hidup aman seperti penduduk lain di muka bumi ini.
“OIC perlu membantu Palestin seperti Amerika Syarikat membekalkan senjata kepada Israel. Memang negara OIC tidak sekuat Amerika Syarikat, tetapi dengan perpaduan dan rancangan yang kemas serta sistematik dalam bidang diplomatik mahupun ketenteraan, nasib Palestin akan dapat dibela,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta me­ngulas isu kekejaman Israel di Gaza ketika umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri esok.
Setakat ini, lebih 1,000 penduduk Palestin telah terbunuh dan angka tersebut dijangka terus bertambah.
Apa yang menyedihkan, penderitaan mereka sejak puluhan tahun lalu tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada dunia.
Mengulas lanjut kata Abdullah, OIC harus ada pendirian untuk mengambil tindakan terhadap rejim Zionis berdasarkan saluran undang-undang antarabangsa sedia ada bagi melindungi hak dan keselamatan rakyat Palestin.
“OIC seharusnya menubuhkan satu kesatuan yang terdiri daripada barisan hakim, peguam, badan-badan berkuasa yang mahir dalam undang-undang antarabangsa agar dapat mengheret Israel ke muka pengadilan.
“Saya berharap dengan wujudnya kesatuan ini mampu memberi kekuatan kepada OIC membantu rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman turut menggesa OIC campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian dengan segera.
“OIC dan PBB perlu membuat ketetapan supaya sebuah pasukan pengaman dapat ditempatkan di seluruh wilayah Palestin untuk me­nyalurkan bantuan kepada mereka.
“Mereka perlu melaksanakan tindakan bersepadu seperti memboikot Israel daripada terus melakukan kekejaman. Saya berharap rakyat Malaysia juga akan terus menyumbang dana bagi tujuan pembangunan semula Gaza dan membantu rakyat Palestin,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140728/dn_18/OIC-perlu-ambil-tindakan-tegas#ixzz39ORJpf3u
© Utusan Melayu (M) Bhd