Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2083) SINAR HARIAN 9/8/2014 – Pilih produk tempatan – PPIM
09 Aug 2014

Pilih produk tempatan


Produk keluaran Bumiputera dalam pelbagai industri mampu menampung keperluan pengguna di Malaysia tanpa perlu bergantung kepada barangan luar negara.


Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan berkata, ia dilihat menerusi kepelbagaian produk dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya makanan, kosmetik dan teknologi.


Katanya, Malaysia mempunyai banyak syarikat PKS antaranya diwakili ahli DPMM yang melebihi 500,000 syarikat di seluruh negara termasuk anggota yang bergabung dengan organisasi tersebut.


“Kita melihat produk keluaran PKS Bumiputera mencukupi tanpa mengambil produk daripada luar. Produk kita banyak dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti dan agensi seperti Sirim Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.


“Bagaimanapun, produk keluaran Bumiputera tidak mempunyai permintaan daripada orang ramai akibat kelemahan promosi yang memerlukan kos besar,” katanya ketika ditemui di Kajang, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai alternatif untuk menggantikan produk dan barangan yang mempunyai kaitan dengan Israel bagi mengurangkan kekejaman dan kerakusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.


Mohamad Alayuddin berkata, kebanyakan usahawan Bumiputera kreatif terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).


“Di DPMM Putrajaya, kami ada satu kaedah untuk mempromosi barangan kita menerusi portal Majalah.com yang dibangunkan oleh ahli kami. Pelbagai jenis produk boleh didapati dalam portal itu,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, DPMM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain merancang untuk menubuhkan sebuah kompleks perniagaan besar untuk produk keluaran Bumiputera dan orang Islam.


“Sekarang kita bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Persatuan Pemborong dan Peruncit Malaysia (Mawar), persatuan India serta Cina Muslim dalam usaha mengumpulkan semua barangan PKS bagi membentuk rangkaian peruncit.


“Kita akan kumpulkan lebih banyak barangan daripada usahawan dewan perniagaan, Majlis Amanah Rakyat,Lembaga Pemasaran Pertanian Perrsekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kita akan memasarkan produk dahulu sebelum dipasarkan di kompleks perniagaan besar kerana ia mengambil masa lama,” katanya.


Pada masa sama beliau berharap supaya masyarakat tidak merasa ragu menggunakan barangan tempatan yang dilihat setanding dengan produk keluaran luar negara.