Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2280) KOSMO – 24/12/2014 – Ops BAH 7
25 Dec 2014

WAJAH Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan kelihatan cukup tenang. Namun di sebalik wajah tersebut ada ketegasan dan keinginan yang kuat dalam diri beliau untuk membersihkan ibu kota Kuala Lumpur daripada gejala tidak sihat.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran, namun beliau tetap berusaha untuk menghancurkan kewujudan pusat-pusat judi dan urut haram yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Orang ramai mahu satu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah yang telah sekian lama menjadi barah dalam masyarakat dan jika tidak ditangani segera, ia bakal memberikan kesan buruk kepada generasi akan datang. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, terdapat 300 buah pusat judi siber yang giat beroperasi di ibu negara dan 80 peratus daripada pelanggan-pelanggannya terdiri daripada orang Melayu.
Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mewujudkan sebuah pasukan petugas khas pada 16 April lalu untuk mencari penyelesaian terhadap gejala itu. Beliau meminta Adnan menerajui usaha tersebut.
Menurut Adnan, hasil perbincangan yang melibatkan kakitangan kerajaan kemudian mencetuskan idea untuk melaksanakan Operasi Banteras Aktiviti Haram atau lebih dikenali sebagai Ops Bah.
Fokus utama Ops Bah ialah penguatkuasaan terhadap pusat siber perjudian haram, pusat urut tanpa lesen, dadah, warga asing, penyalahgunaan permit dan aktiviti maksiat.
Menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Ops Bah disertai oleh 17 buah agensi kerajaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak sebagai peneraju utama usaha tersebut.
Kesemua agensi yang terlibat masing-masing akan menggunakan segala kuasa yang ada termasuk sumber, kepakaran, pengetahuan, idea dan isu supaya dapat merungkai apa jua masalah yang timbul dalam usaha membanteras masalah sosial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Syarikat Bekalan Air Selangor, Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tenaga Nasional Berhad serta Telekom Malaysia.
PUSAT judi haram antara sasaran Ops Bah dalam membanteras gejala sosial.

Membuahkan hasil
Malah beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut membantu menjayakan operasi tersebut seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Persatuan Alumni Fakulti Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara selain wakil daripada kerajaan tempatan sebagai pemerhati iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Sejak dilancarkan secara rasmi pada bulan Julai lalu, Ops Bah sudah mula membuahkan hasil.
Adnan yang sebelum ini merupakan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya menjelaskan, model Ops Bah itu juga bukan sahaja mampu mengatasi masalah tidak cukup kakitangan malah membolehkan semua bentuk jenayah, kesalahan dan masalah sosial dapat diambil tindakan.
“Ini adalah satu model bersepadu yang terbaik untuk menangani masalah sosial yang melanda negara ketika ini. Berdasarkan pemerhatian saya, ke- semua agensi yang terlibat menerima model Ops Bah berbanding pelaksanaan operasi secara sendiri-sendiri yang sebelum ini dilihat cukup sukar dan penuh halangan.
“Sebagai contoh, apabila kita menggempur sesebuah pusat perjudian haram melalui Ops Bah, kita dapat mengambil tindakan dari segenap sudut dan sekali gus dapat menghapuskan kegiatan tidak bermoral dengan lebih berkesan. Misalnya, tindakan tegas dapat diambil oleh TNB, Telekom, Jabatan Agama dan lain-lain secara bersepadu.
“Dengan kerjasama semua agensi kerajaan, kita berjaya mengambil tindakan terhadap masalah pendatang tanpa izin, pelesenan, binaan haram, penyalahgunaan dadah, perjudian, pelacuran dan maksiat,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini.
Cabaran
Adnan menjelaskan, sejak Ops Bah dilaksanakan, sebanyak 163 pusat judi haram diserbu menyaksikan rampasan pelbagai peralatan judi bernilai RM5.4 juta di Kuala Lumpur dan RM1 juta di Labuan.
Tambah beliau, sebanyak 71 rumah urut dan tiga pusat hiburan diserbu, 198 orang ditahan di bawah kesalahan dadah, 206 warga asing diberkas dan sembilan pasangan ditahan kerana berkhalwat.
“Selepas enam siri Ops Bah, tinjauan semula kami mendapati lebih 60 peratus daripada premis judi haram terbabit terus menghentikan operasi selepas diserbu. Bagaimanapun, ada yang masih berani. Mereka pasang bekalan elektrik dari sumber lain dan kita akan serbu semula,” katanya.
Tambah beliau, antara halangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi sepanjang pelaksanaan operasi tersebut ialah kewujudan tonto yang sering memerhati setiap gerak langkah pasukan penguatkuasaan.
“Saya turut menjadi mangsa apabila seorang tonto telah mengambil gambar saya, namun mujur pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang ada bersama dalam Ops Bah mempunyai kuasa untuk membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu sama ada dia positif dadah atau tidak selain meminta supaya gambar saya dipadamkan,” kata Adnan menceritakan pengalaman beliau menyertai satu Ops Bah baru-baru ini.
Antara halangan lain ialah kewujudan sindiket judi siber, stor simpanan terhad, sambungan elektrik dan air dilakukan secara haram selepas operasi dijalankan, ketirisan maklumat operasi, keselamatan petugas semasa operasi, desakan orang tengah untuk sambungan untuk sambungan semula bekalan air dan elektrik, premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup, masa terlalu panjang untuk merekod barangan yang disita, bahan rampasan serta penempatan orang kena tahan.
Dalam pada itu, Adnan turut memberitahu, pihaknya turut mempelbagaikan strategi bagi memastikan setiap operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Bah mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.
“Selalunya aktiviti-aktiviti maksiat di rumah urut berlaku selepas waktu pejabat tetapi apabila kita tukar kepada waktu siang, operasi yang kita laksanakan berhasil termasuk serbuan ketika waktu solat Jumaat,” jelasnya.
Ujar beliau, ekoran usaha yang berterusan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, terdapat pengusaha pusat judi dan urut haram di Kuala Lumpur kini telah insaf dan mahu menjalankan perniagaan lain yang sah dan bersifat membina.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan (kanan) bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (dua dari kanan) melihat barang yang dirampas ketika Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bimbingan
“Memang ada pengusaha datang semula kepada kita dan mahu memulakan perniagaan baharu. Dia mahu mendapatkan lesen berniaga yang sah. Pengusaha yang sudah insaf ini semestinya akan diberi bantuan kerana kita tidak mahu timbul satu persepsi bahawa kerajaan dan kementerian tidak pro perniagaan,” jelasnya.
Adnan memberitahu, pihak kementerian akan memberikan bimbingan berterusan termasuk khidmat nasihat dengan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Matlamat utama kita tidak sekadar menghancurkan perniagaan haram, tetapi kita juga akan bantu individu terlibat untuk membina kembali perniagaan yang memberi manfaat positif kepada negara dan rakyat. Jika mereka degil, kita akan terus menerus melakukan operasi di tempat mereka,” katanya.
Sehingga kini kejayaan model Ops Bah sudah dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri, Majlis Sosial Negara, mesyuarat pegawai kanan kerajaan dan mesyuarat Ketua Setiausaha Negara.
“Selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak, saya dapati model operasi ini adalah yang terbaik dan boleh dipraktikkan di seluruh negara malah model ini mula mendapat sokongan daripada pelbagai pihak
kerana kejayaannya,” ujar beliau.
Kementerian Wilayah Persekutuan terbuka untuk berkongsi dengan mana-mana pihak untuk menggunakan model tersebut sekali gus mengembangkannya ke peringkat nasional.
Terbaharu, kata Adnan, ada kementerian dan agensi kerajaan sudah
meminta Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memberikan taklimat berhubung model Ops Bah.
“Pada pandangan saya, model ini memang boleh dijayakan di tempat lain selepas kita berjaya melaksanakannya di Kuala Lumpur. Saya yakin jika semua pihak bersungguh-sungguh dan ada komitmen, kita akan dapat hasil yang terbaik,” jelas Adnan.